DUN Sabah: Kerajaan henti khidmat lori tangki swasta jual air

Shahelmey bersama Teck Lee pada Sidang DUN Sabah di Kota Kinabalu.
Shahelmey bersama Teck Lee pada Sidang DUN Sabah di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah telah menghentikan khidmat lori tangki yang dimiliki syarikat swasta untuk menjual air kepada pengguna di negeri ini.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pemberhentian itu telah dilakukan sejak dua minggu lalu berikutan perkhidmatan lori air swasta mengenakan caj berlebihan.

"Untuk rekod, sejak dua minggu lepas kita telah menghentikan semua lori-lori air swasta yang beroperasi dan mengenakan caj yang berlebihan.

"Sekiranya bangunan premis kerajaan mengalami putus air, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan menghantar air menggunakan lori air jabatan," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Junz Wong (Warisan-Tanjung Aru) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.

Junz sebelum itu bertanya mengenai isu penjualan air menerusi lori tangki yang dimiliki syarikat swasta kepada pengguna di Kota Kinabalu.

Shahelmey bagaimanapun mengakui lori daripada JANS tidak mencukupi dan jabatan itu turut memperoleh khidmat daripada syarikat swasta untuk menghantar air kepada pihak yang memerlukan.

"Tetapi caj itu akan dikenakan oleh JANS, bukan dengan membelinya dengan caj yang tinggi," jelasnya.

Sementara itu, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri memaklumkan kepada ADUN di negeri ini bahawa peruntukan sebanyak RM320 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi menangani isu bekalan air belum disalurkan.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, Mesyuarat Jemaah Menteri Negeri pada 26 Julai 2023 telah bersetuju supaya peruntukan kewangan dari kerajaan negeri digunakan terlebih dahulu bagi pelaksanaan keutamaan pembangunan khas ini.

"Di samping itu, pihak JANGS telah memulakan kertas kerja penyediaan pra-pelaksanaan projek sebagai persediaan untuk pelaksanaan projek sejurus kelulusan peruntukan disalurkan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Datuk Yong Teck Lee (ADUN Dilantik-SAPP) mengenai perkembangan peruntukan pembangunan khas sebanyak RM320 juta bagi isu bekalan air di Sabah yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.