PRN: PH-BN menang, anak perantau pulang kerja di Kelantan

Ahmad Zahid menyampaikan Ceramah Mega Jelajah Perpaduan Madani di Barisan Nasional Command Centre, Batang Merbau. - Foto Bernama
Ahmad Zahid menyampaikan Ceramah Mega Jelajah Perpaduan Madani di Barisan Nasional Command Centre, Batang Merbau. - Foto Bernama
A
A
A

TANAH MERAH - Anak-anak perantau Kelantan akan mendapat pulang untuk berkhidmat di negeri sendiri jika Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) menang pada pilihan raya negeri (PRN), Sabtu ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika Kerajaan Perpaduan itu menang, pihaknya akan membawa banyak peruntukan dan pelabur asing ke Kelantan bagi mewujudkan lebih peluang pekerjaan.

“Kami akan bawa pelabur asing ke negeri ini sebab orang Kelantan ini mencari kerja di luar.

“Kami mahu pelaburan asing datang Kelantan supaya anak Kelantan dapat bekerja Kelantan. Jadi, kali ini berubah dan bertukarlah (kepada Kerajaan Perpaduan),” katanya semasa berucap pada Jelajah Perpaduan Madani Kelantan di Batang Merbau di sini pada Isnin.

Menurut beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu, jentera-jentera PH-BN perlu bekerja keras untuk merampas kerajaan Pas yang sudah memerintah negeri itu selama 33 tahun, namun didakwa masih mundur tanpa pembangunan atau kemajuan.

Kata Ahmad Zahid, mereka dari PH-BN bukan bekerja kerana upah sebaliknya mahu membantu membina sebuah kerajaan baharu di Kelantan.

“Kami bekerja bukan kerana upah tetapi untuk membantu kesengsaraan 33 tahun dialami rakyat Kelantan dan semasa Perikatan Nasional memerintah, tidak ada perubahan.

“Banyak fasiliti yang ada di Kelantan, sama ada jalan raya, sekolah, rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin, semua datang daripada kerajaan Persekutuan. Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bertindak adil apabila tetap memberikan peruntukan pada negeri ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, PH-BN mengemukakan manifesto antaranya ialah menghapuskan tunggakan bil air, menurunkan caj permohonan bekalan air domestik untuk kediaman, menurunkan semula kadar premium tanah sehingga 50 peratus serta membina Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu (Kelantan Sentral) dengan kadar segera.

Selain itu, menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun, membina 5,000 unit rumah mampu milik, menurunkan kadar cukai pintu dan tunggakan sehingga 50 peratus serta memansuhkan bayaran letak kereta di seluruh pihak berkuasa tempatan.