Longkang monsun runtuh bukan bawah seliaan JPS

Tebing longkang monsun yang runtuh tersebut menimbulkan keresahan penduduk setempat.
Tebing longkang monsun yang runtuh tersebut menimbulkan keresahan penduduk setempat.
A
A
A

SUBANG - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjelaskan bahawa longkang monsun yang runtuh berhampiran kawasan Lot 3373, Jalan Tembusu, Kampung Melayu Subang bukan berada di bawah seliaan mereka.

Sebaliknya, difahamkan longkang monsun itu adalah di bawah pengurusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Menurut sumber JPS Daerah Petaling, pihaknya sememangnya mengambil maklum mengenai insiden runtuhan tersebut malah aduan berkenaan juga telah dipanjangkan kepada MBSA sebelum ini.

"Pihak kami ada berkomunikasi dengan Jabatan Kejuruteraan MBSA dan mereka turut meminta pandangan JPS daripada sudut teknikal memandangkan struktur tanah di sini adalah lemah.

"Malah kawasan itu juga tidak mempunyai ruang untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan," katanya.

Keadaan tebing longkang monsun berkenaan yang runtuh sejak dua minggu lalu.
Keadaan tebing longkang monsun berkenaan yang runtuh sejak dua minggu lalu.

Tambahnya, MBSA juga telah mengadakan lawatan pada minggu lalu bersama pakar perunding di lokasi terlibat bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mengenai kejadian tebing longkang monsun terbabit yang runtuh sehingga mampu mengancam nyawa penduduk setempat.

Difahamkan, hakisan tersebut sudah berlaku sejak beberapa bulan lalu namun sejak dua minggu lalu, keadaannya semakin teruk sehingga menyebabkan runtuhan pada tebing longkang monsun berkenaan.

Selain penempatan penduduk, bengkel yang menjalankan operasi perniagaan di kawasan ini turut terjejas berikutan daripada kejadian runtuhan terbabit.