Syahmi Sazli hadiahkan penapis air untuk Ayu

Gambar yang dikongsi Syahmi ketika melawat Ayu di kediamannya di Kampung Banggol Stol.
Gambar yang dikongsi Syahmi ketika melawat Ayu di kediamannya di Kampung Banggol Stol.
A
A
A

KOTA BHARU - Luahan seorang pengguna media sosial, Nor Idayu Supian, 31, mengenai masalah air di kediamannya di Pasir Mas akhirnya mendapat pembelaan kerajaan negeri.

Luahan Nor Idayu atau lebih mesra dipanggil Ayu sebelum itu juga mendapat perhatian YouTuber terkenal, Syahmi Sazli dan isterinya, Anissa Faizul yang turut bersuara mengenai isu air bersih di Kelantan.

Ayu mengakui membuat luahan di grup Facebook Pasir Mas kerana sudah tidak tahan dengan masalah tiada bekalan air di kediamannya itu.

Ayu berkata, dia telah dihubungi Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datuk Mohd Nassuruddin Daud Jumaat lalu iaitu hari yang sama rintihannya disiarkan sebuah portal.

Mohd Nassuruddin dikatakan menghantar wakil meninjau kediaman wanita berkenaan bagi melihat situasi sebenar dakwaan terputus bekalan air bersih sejak enam bulan lalu.

"Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kemudian menyalurkan bekalan air ke tangki rumah saya Sabtu pagi selepas tular ke pihak mereka," katanya.

Bagaimanapun jelas Ayu, hanya kediamannya yang menerima bantuan kerana dianggap dia sahaja yang membuat aduan manakala 15 rumah lain di kawasan itu tidak menerimanya.

Tambah ibu kepada tiga cahaya mata itu, selain memenuhkan tangki air di rumahnya di Kampung Banggol Stol, Pasir Mas, pihak AKSB turut memeriksa bagi mencari punca masalah air tidak sampai.

Menurut Ayu, perumahannya dikategorikan sebagai kawasan bertekanan rendah hingga menyebabkan penduduk sukar menerima bekalan air.

Luahan Ayu di Facebook mendapat perhatian Anissa.
Luahan Ayu di Facebook mendapat perhatian Anissa.

Dalam pada itu, Ayu turut meluahkan rasa syukur dan terharu apabila keluhannya mendapat perhatian Syahmi dan Anissa.

"Mungkin nama mereka besar dan berpengaruh, lebih cepat kerajaan ambil tindakan. Lagipun sudah tinggal beberapa hari saja lagi nak mengundi.

"Saya sudah lama hadapi masalah ni. Saya pun fikir memang ini masa terbaik untuk mengambil peluang meluahkan semua masalah air ini," katanya.

Ayu turut tersentuh apabila Syahmi menghubunginya dan menawarkan sumbangan penapis air berharga RM2,798.

Jelas Ayu, sebelum ini dia dan suami, Helmey Mohd Nor, 39, terpaksa mengangkut air sebanyak tiga hingga empat kali setiap hari di masjid kira-kira dua kilometer dari kediamannya.

"Memang sukar melakukan kerja harian tambahan pula saya berniaga kek yang memang banyak memerlukan air termasuk membasuh peralatan seperti loyang dan perkakas kek," katanya.

Ayu mendakwa, suaminya terpaksa pergi kerja lewat di Rantau Panjang untuk membantunya mengangkut air.

Sehubungan itu dia berharap masalah air di Kelantan dapat diselesaikan bagi mengurangkan penderitaan penduduk di sesetengah kawasan yang terputus bekalan.

ARTIKEL BERKAITAN: Syahmi Sazli reda jika diboikot

'Kalau sentuh masalah air satu kesalahan, tak ada perubahanlah' - Syahmi Sazli