'Kalau sentuh masalah air satu kesalahan, tak ada perubahanlah' - Syahmi Sazli

Syahmi tampil memberi penjelasan lanjut berhubung luahan isterinya mengenai masalah air yang tidak berkesudahan di Kelantan pada Sabtu di Facebooknya.
Syahmi tampil memberi penjelasan lanjut berhubung luahan isterinya mengenai masalah air yang tidak berkesudahan di Kelantan pada Sabtu di Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - "Kalau sentuh masalah ini (air) jadi satu kesalahan, tak ada perubahanlah," kata pempengaruh dan Youtuber terkenal, Syahmi Sazli yang tampil menjelaskan tentang luahan isterinya mengenai masalah air yang tidak berkesudahan di Kelantan walaupun sudah lebih 30 tahun kerajaan negeri sedia ada mentadbir.

Bagaimanapun, Syahmi berkata, isterinya, Anissa Faizul bersuara bukan bermaksud untuk meminta kerajaan negeri ditukar.

"Jadi bagi Mi, masalah ini (air) memang ada walaupun segelintir. Takkanlah nak sentuh masalah itu pun menjadi satu kesalahan.

"Kalau ikutkan Mi, Mi tak kisah pun siapa-siapa nak tadbir atau memerintah, tapi asalkan benda (keperluan) asas untuk rakyat wajib dipenuhi dan diselesaikan," katanya yang membahasakan dirinya sebagai Mi menerusi satu klip video berdurasi tiga minit 31 saat yang dimuat naik di Facebooknya pada Sabtu.

Sebelum itu, Anissa, 25, menerima banyak kecaman dan kritikan daripada netizen selepas meluahkan mengenai masalah air tersebut di Facebook pada Jumaat.

Syahmi, 28, menjelaskan, selain itu ada segelintir mempersoalkan kesahihan kenyataan isterinya itu memandangkan masalah air tidak dilihat berlaku di rumah mereka malahan perniagaan air balangnya juga boleh beroperasi seperti biasa.

“Sebenarnya Nissa kongsi posting masalah seorang kakak ni dalam grup Facebook Pasir Mas yang meluahkan tentang dia mengalami masalah air selama enam bulan.

“Nissa kongsi benda tu dan tulis kapsyen sikit. Tapi Nissa tak kata pun nak tukar kerajaan negeri atau parti ke, tak ada. Ini pasal masalah rakyat dan Nissa kongsi benda itu saja,” ujarnya.

Pada masa sama, Syahmi turut memohon maaf kepada para pengikutnya sekiranya terasa hati dengan perkongsian isterinya di Facebook berhubung perkara berkenaan.