Menteri Kesihatan Indonesia bertemu Elon Musk

Budi Gunadi Sadikin mengadakan pertemuan dengan Elon Musk bagi meneroka kerjasama antara Indonesia dan Starlink. - Foto ANTARA
Budi Gunadi Sadikin mengadakan pertemuan dengan Elon Musk bagi meneroka kerjasama antara Indonesia dan Starlink. - Foto ANTARA
A
A
A

JAKARTA - Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin mengadakan pertemuan dengan Elon Musk bagi meneroka kerjasama antara Indonesia dan Starlink, iaitu rangkaian satelit Musk, dalam menyediakan akses internet di pusat kesihatan terpencil.

"Ini adalah usaha kita dalam memastikan perkhidmatan kesihatan yang adil di negara ini,” kata Sadikin menerusi kenyataannya pada Ahad.

Sadikin berhasrat meneroka kerjasama dengan Starlink bagi menyediakan akses internet di pusat kesihatan yang terletak di kawasan kurang bernasib baik, sempadan dan terpencil (3T), lapor Agensi Berita ANTARA.

Menurutnya, pusat kesihatan setempat (puskesmas) perlu mempunyai infrastruktur yang mencukupi kerana mereka merupakan barisan hadapan dalam merealisasikan kesejahteraan masyarakat.

Kira-kira 2,200 daripada 10 ribu puskesmas sedia ada masih tidak mempunyai akses kepada internet, menurut data kementerian itu.

Selain itu, terdapat 11,100 puskesmas kecil yang tidak mempunyai jaringan internet.

"Dengan akses internet yang baik, perundingan perkhidmatan kesihatan boleh dilakukan secara dalam talian," kata Sadikin.

Dengan capaian internet yang baik, latihan dalam talian untuk petugas kesihatan juga boleh dijalankan, katanya.

Peningkatan jaringan internet, dapat menyediakan akses lebar kepada perkhidmatan kesihatan dan meningkatkan komunikasi antara wilayah.

Dengan cara itu, laporan daripada kemudahan penjagaan kesihatan boleh dilakukan pada bila-bila masa, katanya.

"Aktiviti ini juga menyokong agenda pendigitalan transformasi kesihatan Indonesia,” katanya.

Starlink ialah rangkaian satelit yang dibangunkan oleh syarikat penerbangan swasta SpaceX untuk menyediakan internet kos rendah di kawasan terpencil.

Pada masa ini, kemudahan penjagaan kesihatan di Filipina, Rwanda, Mozambique dan Nigeria sudah menggunakan perkhidmatan Starlink.

Terdahulu, Satelit Republik Indonesia-1 (SATRIA-1) dilancarkan ke angkasa lepas dari Cape Canaveral Space Launch Complex 40 (SLC 40) di Florida, Amerika Syarikat, pada 6.21 petang Ahad (18 Jun 2023) waktu tempatan atau 5.21 pagi Isnin (19 Jun) waktu Jakarta.

Satelit SATRIA-1 dijangka menyokong ketersambungan internet di seluruh negara. - Bernama