Tahfiz TVET lahirkan hafiz berkemahiran

Mustapha melakukan gimik perasmian Tahfiz Vokasional Ahmadiah sambil disaksikan Mohammed Firdaus (kiri) pada Ahad.
Mustapha melakukan gimik perasmian Tahfiz Vokasional Ahmadiah sambil disaksikan Mohammed Firdaus (kiri) pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Maahad tahfiz Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sahaja berkeupayaan melahirkan tenaga mahir negara dalam bidang teknikal, malah mewujudkan teknokrat daripada golongan agamawan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Ts Mustapha Sakmud berkata, ia susulan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan TVET sebagai alternatif kepada golongan muda sekali gus mengisi kekosongan tenaga mahir di pasaran.

Menurutnya, langkah itu bagi memberi peluang kepada pelajar tahfiz yang berkebolehan tidak hanya menjadi imam, guru agama atau pengurusan masjid namun menambah nilai kemahiran yang ada dalam diri mereka.

"Kewujudan program sebegini di maahad tahfiz akan lahirlah anak tahfiz berkemahiran di samping menjadi imam, dia boleh bantu melakukan kerja-kerja kemahiran dan mengurangkan kos pembaikan jika terdapat kerosakan," katanya.

Mustapha ketika ditemui media selepas merasmikan Tahfiz Vokasional Ahmadiah, Bedong pada Ahad.
Mustapha ketika ditemui media selepas merasmikan Tahfiz Vokasional Ahmadiah, Bedong pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Tahfiz Vokasional Ahmadiah Rakan Kongsi Strategik Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas di Bedong pada Ahad.

Hadir sama, Mudir Tahfiz Vokasional Ahmadiah, Fadzil Noor Sahani dan calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, Mohammed Firdaus Johari.

Dalam masa sama, Mustapha berkata, ia menjadi contoh baik kepada tahfiz lain kerana bukan sahaja mampu melahirkan hufaz, di samping itu menyediakan tenaga mahir negara yang dinamakan sebagai Teknokrat Madani Gagasan Negara Malaysia Madani.

Mengenai Tahfiz Vokasional Ahmadiah, Fadzil berkata, ia mendapat sokongan daripada ILP Kepala Batas bagi memperkenalkan satu jurusan mekanikal yang telah pun beroperasi dua tahun lalu, namun terhenti kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita mendapat kebenaran pentauliahan pusat sebagai tempat yang bukan hanya menawarkan sijil kemahiran kepada pelajar tahfiz namun turut dibuka kepada individu yang berminat," katanya.

Menurutnya, pekerja sektor swasta yang mempunyai kepakaran mekanikal juga dipelawa untuk mengikuti latihan kemahiran dalam tempoh tertentu dan diberikan sijil.

Mohammed Firdaus
Mohammed Firdaus

Sementara itu, Muhammed Firdaus berkata, usaha itu merupakan salah satu manifesto yang dijanjikan iaitu memberi tumpuan kepada TVET sekali gus berkelayakan menyertai program MyFuture Jobs Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang akan memberi manfaat khususnya kepada pengundi di DUN Gurun.