[VIDEO] Dua lelaki ditahan bersama 50 ketulan mampat ganja

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin (tengah) dan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan (kanan) menunjukkan ketulan mampat disyaki ganja yang dirampas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin (tengah) dan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan (kanan) menunjukkan ketulan mampat disyaki ganja yang dirampas.
A
A
A

JITRA - Seorang warga emas berusia 68 tahun antara dua lelaki yang ditahan bersama 50 ketulan mampat tumbuh-tumbuhan disyaki dadah jenis ganja dalam operasi di parkir kenderaan bawah tanah sebuah pusat membeli-belah di Pekan Jitra, di sini, pada Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin berkata, kedua-dua suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota JSJN Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah serta JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu lebih kurang jam 6.50 petang.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kedua-dua lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan sambil membuka bonet hadapan kenderaan jenis Honda CRV.

"Hasil pemeriksaan mendapati 50 bungkusan plastik lut sinar mengandungi ketulan mampat disyaki ganja dianggarkan lebih kurang 52.5 kilogram (kg) bernilai RM162,750.

"Ketulan mampat dadah terbabit disusun di bahagian enjin kenderaan dan hanya ditutup dengan kotak," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan.

Kata Mohd Taufik, berdasarkan semakan, suspek berusia 52 tahun dari Jitra tidak memiliki rekod jenayah dan ujian saringan air kencing negatif.

Beliau menambah, ujian saringan ke atas suspek berusia 68 tahun dari Kangar juga menunjukkan keputusan negatif, bagaimanapun dia mempunyai rekod jenayah lampau.

"Susulan penangkapan dan rampasan itu, polis melakukan pemeriksaan di Kangar dan Kuala Perlis, sekaligus merampas wang tunai berjumlah RM2,520 dan wang tunai Thai Baht sebanyak 1,320 baht (RM295.30).

"Lima buah kenderaan telah disita termasuklah sebuah kereta jenis Honda CRV, sebuah kereta jenis Nissan Almera, sebuah kereta jenis Toyota Camry, sebuah kereta jenis Volkswagen Tiguan dan sebuah kereta jenis Volvo S80," katanya.

Beliau memaklumkan, keseluruhan nilai sitaan wang tunai dan kenderaan terbabit dianggarkan bernilai RM182,815.

Beliau berkata, modus operandi adalah menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran Thailand dan masuk melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam melalui negara jiran.

Beliau memaklumkan, ketulan ganja itu dipercayai dibawa masuk untuk ke Lembah Klang melalui Kedah dengan Jitra sebagai transit.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 10 Ogos depan.