Calon Amanah Batu Buruk luncur 13 agenda

Zamir (tengah) bercakap pada sidang media Majlis Peluncuran Rasmi 13 Agenda Batu Buruk di sebuah resort pada Sabtu. - Foto Bernama
Zamir (tengah) bercakap pada sidang media Majlis Peluncuran Rasmi 13 Agenda Batu Buruk di sebuah resort pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk hari ini meluncurkan 13 agenda sebagai nilai tambah kepada manifesto gabungan Barisan Nasional (BN) dan PH Terengganu yang sedia ada, bagi memperkasakan keselesaan dan kebajikan rakyat.

Zamir Ghazali daripada Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, agenda yang merupakan unjuran kepada pelaksanaan jangka pendek dan jangka panjang di Batu Buruk itu telah 'direstui' BN-PH Terengganu yang terlebih dahulu telah mengumumkan manifesto pada 25 Julai lepas.

"Agenda ini hasil pemerhatian dan lontaran idea serta komen daripada penduduk setempat merentasi pelbagai segmen. Ia turut digabungkan dengan idea baharu tokoh korporat dan teknokrat di Batu Buruk selain berlandaskan kajian empirikal oleh institusi pengajian tinggi," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan agenda tersebut di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, antara yang ditekankan dalam 13 agenda tersebut ialah penyelesaian isu banjir yang kerap menghantui penduduk Batu Buruk terutamanya ketika musim tengkujuh menerusi idea membaiki sistem saliran sedia ada serta menaik taraf landskap tali air.

Selaras dengan kerangka utama manifesto BN-PH yang menumpukan kepada pembangunan dan pemerkasaan golongan belia serta remaja di negeri ini, Zamir turut memfokuskan agendanya untuk memajukan Liga Sukan Komuniti menerusi pembinaan padang bola sepak sintetik dan penubuhan Kampung Sukan di kawasan berkenaan.

Antara lain, anak kelahiran Kuala Ibai itu turut menawarkan 'Bendang Pangsapuri' yang berkonsepkan pangsapuri dikelilingi sawah bagi menyelesaikan isu keperluan pemukiman bagi 1,500 penduduk Batu Buruk yang tidak memiliki rumah serta membangunkan 'Surau Berdikari' yang akan berfungsi sebagai lokasi ekonomi dan kebajikan masyarakat.

Pada Pilihan Raya Negeri 12 Ogos ini, Zamir akan berdepan saingan satu lawan satu dengan penyandang Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga anak kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!