Tak mustahil BN-PH menang PRN di enam negeri

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tidak mustahil BN dan Pakatan Harapan (PH) menang dalam pilihan raya di enam negeri minggu depan berdasarkan pemerhatian dan penilaian terkini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dua gabungan politik itu boleh menang jika dilihat perkembangan semasa sekali gus menyangkal dakwaan Perikatan Nasional (PN) akan menang pilihan raya negeri (PRN) di semua enam negeri terbabit.

"Saya sudah pergi banyak negeri untuk berkempen, saya tak nampak mereka (PN) boleh menang 6-0, silap-silap kita yang menang 6-0, atau 5-1.

"Kelantan adalah satu negeri yang istimewa dan silap-silap (kita) boleh tawan Kedah kerana amat unik (politik) di Kedah.

"Kedah dan Terengganu adalah 'swing state' (negeri yang pernah bertukar kerajaan). Kalau 'swing' ke kiri kita kalah, kalau 'swing' ke kanan kita menang. Terengganu dan Kedah, ikut kiraannya (sekarang) 'swing' kanan.

"Apa yang berlaku di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor (peluang untuk menang pilihan raya adalah) cerah untuk Kerajaan Perpaduan," katanya semasa berucap dalam Bursa Market Place Fair 2023 di Pusat Konvension Antarabangsa Persada di sini pada Sabtu.

Turut hadir Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Umar Swift dan Ketua Pembangunan Pelabur Bursa Malaysia, Stephanie Tan.

Ahmad berkata, sebarang keputusan PRN tersebut tidak akan mengubah kedudukan kerajaan di peringkat Persekutuan yang mempunyai 148 kerusi Parlimen yang kini diterajui BN-PH dan beberapa parti politik lain.

Malah kata beliau, sekiranya gabungan BN-PH kalah PRN di semua enam negeri terbabit pada 12 Ogos ini, kerajaan di peringkat Persekutuan tetap tidak akan berubah.

Jelasnya, ini termasuk sekiranya PN menang PRN, kerajaan Persekutuan tetap tidak akan bertukar walaupun 30 ahli Parlimen BN dikatakan akan menyokong mereka.

"Ini mesej yang ingin saya sampaikan kepada yang libatkan 'market sentiment' yang kata Kerajaan Perpaduan akan jatuh kalau mereka menang, itu tak betul.

"Ini kerana yang nak buat hal dan onar ini pun 30 (ahli Parlimen) daripada BN... Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan akan sokong (Kerajaan Perpaduan)...(kalau 30 ahli Parlimen BN itu tarik sokongan) masih ada 118 (ahli Parlimen yang sokong dan) kerajaan masih berdiri," katanya.

Ahmad yakin 30 ahli Parlimen terbabit tidak akan berani berbuat demikian kerana pada November tahun lalu, semua ahli Parlimen telah menandatangani perjanjian sebelum menjadi calon.

"Perjanjian ini menyatakan jika kami keluar, maka kena bayar RM100 juta kepada parti.

Mana ada yang sanggup keluar atau cukup kaya untuk bayar sebanyak itu, tidak ada yang sanggup buat.

Jadi, Kerajaan Perpaduan akan terus menang dan jadi kerajaan walau apa keputusan diperoleh di PRN membabitkan enam negeri," ujarnya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!