Pahang tegas tangani isu ceroboh tanah - MB

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Tindakan mengheret pihak yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan tanah di negeri ini terus ke mahkamah membuktikan ketegasan kerajaan negeri Pahang dalam menangani isu alam sekitar dan ketirisan hasil kerajaan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan kompaun seolah-olah tidak menakutkan penceroboh dan pendakwaan di mahkamah langkah terbaik sebagai pengajaran agar tiada lagi pihak yang sewenang-wenangnya menceroboh tanah kerajaan.

Menurutnya, tindakan itu bukan untuk memalukan tetapi sebagai satu pengajaran kerana aktiviti haram itu melibatkan alam sekitar dan ketirisan hasil yang merugikan kerajaan negeri serta rakyat.

“Tiada lagi kompaun tapi kita akan dakwa terus di mahkamah untuk mengajar mereka yang menceroboh tanah kerajaan di negeri ini.

"Saya telah bawa perkara ini dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang dan meminta Pegawai Undang-Undang Negeri supaya kompaun tidak dikeluarkan sebaliknya sekiranya ada penangkapan, dakwa terus di mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Festival Pengakap Antarabangsa Negeri Pahang di sini pada Sabtu.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah sebelum ini juga bertitah agar agensi penguat kuasa bertindak tegas dalam isu alam sekitar.

Wan Rosdy berkata, sebelum ini tiga kes pencerobohan tanah haram dikesan di negeri ini dalam tempoh 10 hari.

"Aktiviti haram ini sama ada perlombongan, pembalakan, pertanian dan sebarang tujuan tidak sepatutnya berlaku dan akan dihentikan dengan tindakan lebih tegas," ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Wan Rosdy berkata, semua pemimpin tidak wajar bangkitkan isu berkait 3R (agama, kaum dan raja) kerana tindakan itu hanya akan melebarkan jurang perpaduan kaum di negara ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO dan Pengerusi UMNO Pahang berkata, sebagai rakyat sebuah negara dengan masyarakat majmuk, jurang itu sepatutnya dirapatkan dengan memupuk perpaduan antara kaum.

"Sebagai pemimpin, sepatutnya kena fikir nak bawa negara ke tahap mana.

"Dulu negara kita ini disegani dalam banyak aspek tapi sekarang lihat macam mana?" soalnya.

Beliau berkata, perkara berkait 3R perlu diketepikan sebaliknya tumpuan perlu fokus untuk membangunkan negara dalam aspek ekonomi dan lain lain.