Pacu taraf pendidikan negara

Kerajaan cakna dalam memberikan keselesaan bukan sahaja kepada pelajar, tetapi semua warga sekolah.
Kerajaan cakna dalam memberikan keselesaan bukan sahaja kepada pelajar, tetapi semua warga sekolah.
A
A
A

SHAH ALAM - Pendidikan adalah sektor penting yang mendapat perhatian besar daripada kerajaan dalam setiap belanjawan, untuk membangunkan modal insan berkualiti dan menjamin masa depan negara yang lebih hebat.

Maka tidak hairanlah dalam #Belanjawan2023, sebanyak RM55.2 bilion diperuntukkan untuk Kementerian Pendidikan (KPM) dan RM15.3 bilion bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), khusus bagi menyediakan keperluan asas berkualiti kepada rakyat.

FOUZI
FOUZI

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon menyifatkan peruntukan itu selari dengan keperluan kakitangan memandangkan KPM sendiri merupakan kementerian terbesar dengan 430,000 guru, tidak termasuk kakitangan sokongan.

“Jika dilihat daripada peruntukan, RM2.3 bilion untuk ruang pembelajaran sekolah yang kondusif dan selamat, dan RM560 juta bagi pembinaan tujuh sekolah baharu. Ia menunjukkan kerajaan cakna dalam memberikan keselesaan bukan sahaja kepada pelajar, tetapi semua warga sekolah.

“Setiap tahun, memang akan ada aktiviti penyelenggaraan disebabkan kita adalah organisasi yang besar dan banyak bangunan dan kerja penyelenggaraan diperlukan.

“Baru-baru ini, pihak sekolah juga telah mendapat peruntukan yang agak besar untuk penyelenggaraan tandas, sekurang-kurangnya RM70,000. Ini, satu keputusan baik untuk memberikan keselesaan kepada warga sekolah,” katanya.

Beliau turut memuji pemberian dana yang besar sehingga RM35 juta untuk meningkatkan kesalinghubungan Internet di institusi pendidikan tinggi di bawah program Malaysian Research and Education Network (MYREN) dan membekalkan 50,000 komputer riba kepada sekolah dan institusi pendidikan KPM.

Jelasnya, KPM sendiri bukan hanya berfokuskan kepada sekolah, tetapi ia juga merangkumi institut pendidikan guru, Institut Aminuddin Baki, pusat latihan, kolej matrikulasi, sekolah sukan, sekolah khas dan seumpamanya.

Ditanya tentang penekanan kerajaan dalam aspek kemahiran diri pelajar, beliau menjelaskan bahawa, usaha itu dilihat melalui penekanan kepada bidang pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

“Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga menyentuh tentang TVET, namun apa yang perlu kita berikan perhatian adalah kos yang tinggi untuk pelaksanaan, terutama di Kolej Vokasional,” jelasnya.

Tingkat pendidikan berkualiti

Dalam pada itu, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mengharapkan tumpuan dan penekanan kepada sektor pendidikan diteruskan dalam memberikan pendidikan berkualiti kepada rakyat.

DR MOHAMAD ALI
DR MOHAMAD ALI

Presidennya, Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, aspek pembangunan fizikal dan e-learning juga harus seiring baik di bandar, pinggir bandar dan kawasan pedalaman.

“Saya menyambut baik kepada bantuan komputer dan mempertingkatkan kebolehcapaian Internet dalam memastikan pelajar turut mendapat pendidikan maya, yang mana ia perlu seiring dan dipertingkatkan.

“Begitu juga dana untuk persekolahan perlu diteruskan dan ditambah baik, selain bantuan makanan agar pelajar mendapat makanan berkhasiat dan dijamin mutunya, khususnya buat golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.

Bantuan-bantuan itu, katanya, adalah asas yang harus diterima pelajar dan tidak semua ibu bapa berkemampuan untuk menyediakannya.

Justeru, kecaknaan dan komitmen berterusan sebegitu bukan sahaja memberi manfaat besar kepada pelajar, tetapi pada masa yang sama meringankan beban ibu bapa yang tidak mampu menyediakannya sebagaimana orang lain.

Manfaat kepada ibu bapa

Noor Hafiza Che Abdullah, 35, pula memuji usaha kerajaan memperkenalkan lanjutan pelepasan cukai sehingga RM3,000 bagi menghantar anak ke taska atau tadika sehingga tahun taksiran 2024.

NOR HAFIZA
NOR HAFIZA

Jelasnya, dengan kos sara hidup semakin meningkat, bantuan sebegitu amat bermakna bagi ibu bapa kerana banyak komitmen yang diperlukan terutama bagi yang mempunyai anak bersekolah.

“Sebagai ibu, saya melihat belanjawan kali ini amat mesra dan banyak memberi manfaat kepada ibu bapa. Saya melihat kerajaan bersungguh menyediakan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

“Menaikkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) daripada RM2.50 kepada RM3.50 di Semenanjung dan kadar Bantuan Makan Prasekolah (BMP) KPM daripada RM2.00 kepada RM3.00 di Semenanjung misalnya, dapat memastikan pelajar di negara ini mendapat makanan berkualiti dan berkhasiat,” katanya.

REAKSI PELAJAR IPT

No Image Caption

“Saya melihat peruntukan besar berjumlah RM436 juta untuk membaik pulih infrastruktur dan menggantikan peralatan usang di IPTA serta dana untuk meningkatkan kesalinghubungan Internet sebanyak RM35 juta menunjukkan kerajaan cakna dengan keperluan golongan mahasiswa.” - NadhirahZainal, 22, MahasiswaUM

No Image Caption

“Peruntukan besar sehingga RM6.6 bilion untuk kemudahan pendidikan buat anak-anak Bumiputera melalui Majlis Amanah Rakyat, Yayasan Peneraju dan Universiti Teknologi Mara memberi peluang lebih ramai golongan Bumiputera mendapat akses pendidikan berkualiti.” - AiniFatihahMokhtar, 19, Mahasiswa UTP

No Image Caption

“Peruntukan besar sehingga RM428 juta bagi menggiat aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pastinya akan memberi manfaat besar kepada pelajar, komuniti dan industri.” - Nur Fatihah Mohd Nadzri, 19, MahasiswaUTP

No Image Caption



INFO

PERUNTUKANKEMENTERIANPENDIDIKAN(RM55.2BILION)

• Ruang pembelajaran sekolah yang kondusif dan selamat (RM2.3 bilion)

• Pembinaan 7 sekolah baharu (RM560 juta)

• Menaikkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RM777 juta)

• Menaikkan kadar Bantuan Makan Prasekolah (BMP) Kementerian Pendidikan (RM108 juta)

• Membekalkan 50 ribu komputer riba kepada sekolah dan institusi pendidikan KPM (RM38 juta)

• Pengenaan duti setem RM10 diperluas untuk meliputi perjanjian pinjaman/ biasiswa pendidikan bagi semua peringkat di institusi pendidikan dan latihan yang disempurnakan mulai 1 Jun 2023

• Lanjutan pelepasan cukai sehingga RM3,000 bagi menghantar anak ke taska atau tadika sehingga tahun taksiran 2024

PERUNTUKAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (RM15.3 BILION)

• Membaik pulih infrastruktur dan menggantikan peralatan usang yang tidak lagi ekonomik di IPTA (RM436 juta)

• Dana untuk meningkatkan kesalinghubungan Internet di institusi pendidikan tinggi di bawah program Malaysian Research & Education Network (MYREN) (RM35 juta)

• Menggiat aktiviti R&D di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) (RM428 juta)

• Kemudahan pendidikan buat anak-anak Bumiputera (RM6.6 bilion)

• Naik taraf dan selenggara kemudahan universiti awam (RM300 juta)

• Peluang perantisan di negara pemegang biasiswa menuntut melalui kerjasama bersama syarikat multinasional dan kebenaran untuk menyempurnakan bon perkhidmatan dengan syarikat tersebut

• Penyeragaman kadar duti setem bagi perjanjian pinjaman pendidikan

• Diskaun PTPTN sehingga 20 peratus bagi bayaran balik pinjaman PTPTN selama 3 bulan bermula 1 Mac 2023

• Penangguhan bayaran balik PTPTN kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh 6 bulan. Permohonan penangguhan ini boleh dibuat mulai 1 Mac 2023.

• Agenda memperkasa TVET melalui tujuh kementerian utama (RM6.7 bilion)

• Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (RM180 juta)