PRN: Tarikan replika beri limpahan ekonomi kepada penduduk

Replika bas dua alam di sekitar Wakaf Mempelam mencuri tumpuan umum sepanjang PRN kali ini.
Replika bas dua alam di sekitar Wakaf Mempelam mencuri tumpuan umum sepanjang PRN kali ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Suasana kempen pilihan raya negeri (PRN) yang dimeriahkan dengan hiasan dan kreativiti binaan replika turut mewujudkan peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, usaha itu juga menambah pendapatan rakyat menerusi aktiviti perniagaan dijalankan di kawasan berhampiran replika yang dibina.

"Inisiatif tersebut untuk bangkitkan mood pilihan raya sekali gus memeriahkan suasana PRN. Pelbagai hiasan dan replika yang dibuat menjadi tempat tarikan orang nak datang.

"Sebab orang datang ingin bergambar selain mahu rasai kemeriahan suasana sempena PRN diadakan tidak lama lagi.

"Ada juga orang berniaga air dan makanan termasuk keropok. Ini secara tak langsung mewujudkan peluang ekonomi kepada penduduk kampung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau yang juga bekas Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri berkata, pembinaan replika antaranya bas dua alam, kapal terbang dan jet pejuang itu mengambil masa selama tiga hingga ke empat hari.

Ujarnya, pembinaan replika tersebut merupakan inisiatif ahli-ahli dan penyokong Pas di peringkat cawangan masing-masing.

Salah seorang pengunjung mengambil gambar replika bas dua alam di sekitar Wakaf Mempelam di sini pada Jumaat
Salah seorang pengunjung mengambil gambar replika bas dua alam di sekitar Wakaf Mempelam di sini pada Jumaat

"Semuanya atas usaha dan kreativiti mereka. Tiada arahan dari mana-mana kepimpinan Pas mengarahkan mereka buat replika itu dan mereka sendiri secara sukarela membinanya..

"Bahan-bahan digunakan kebanyakan daripada barang terpakai seperti tayar selain ambil bahan yang ada di kampung seperti buluh dan kayu.

"Segalanya dibuat dengan usaha mereka sendiri serta dilakukan secara sukarela tanpa kenakan sebarang upah," jelasnya.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Johor, Amira Mohd, 35, berkata, dia mengetahui tentang replika tersebut ketika melalui jalan yang dipenuhi hiasan berkenaan sebelum mengambil keputusan berhenti di tepi jalan untuk bergambar.

"Saya rasa tertarik nak tangkap gambar kerana ia menarik dan unik. Saya singgah sekejap sebelum meneruskan perjalanan ke bandar Kuala Terengganu dan sudah tentu replika dibuat ini suatu idea yang kreatif dan menarik," ujarnya.