Lapan laporan polis termasuk satu isu 3R di Pulau Pinang

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menerima lapan laporan termasuk satu membabitkan isu 3R iaitu agama, raja dan kaum sejak bermula kempen pilihan raya negeri (PRN) hingga tengah malam tadi di negeri ini.

Jurucakap Media PRN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner W Pusphanathan berkata, laporan polis membabitkan isu 3R itu diterima pada 31 Julai lepas berkaitan satu artikel yang dimuat naik di sebuah portal berita.

"Pengadu membuat laporan polis berhubung artikel 'Muhyiddin says ALLAH issue shows govt run by non-Malays' kerana merasakan kenyataan itu telah menyentuh isu 3R dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang bekas perdana menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

"Pihak polis membuka kertas siasatan dan kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di bawah Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya menerima enam laporan polis berhubung kesalahan merosakkan bendera dan sepanduk parti iaitu empat kes di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan masing-masing satu di Seberang Perai Utara (SPU) serta Barat Daya.

Pusphanathan, yang juga Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pulau Pinang berkata, pihaknya membuka enam kertas siasatan berhubung perbuatan khianat itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Menurutnya polis turut membuka kertas siasatan berhubung video berbaur fitnah di laman sosial TikTok terhadap calon bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai David Marshel dan kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 AKM 1998.

"Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung kes yang disiasat dan saya berharap semua pihak tidak memainkan isu 3R serta tidak menimbulkan provokasi kepada mana-mana pihak semasa berkempen termasuk khianat atau merosakkan bahan kempen pilihan raya seperti poster, bendera parti dan sepanduk," katanya.

Berhubung dakwaan beberapa calon Perikatan Nasional (PN) yang diekori polis ketika berkempen hingga menimbulkan suasana tidak selesa dan terganggu, beliau berkata, tindakan polis itu bagi memastikan perjalanan kempen mereka dan orang ramai selamat tanpa berlaku kejadian tidak diingini.

Katanya, pihak polis mempunyai 50 pasukan cantas yang bertugas di semua lapangan sepanjang PRN, selain 40 Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) terdiri daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil parti yang bersama-sama membuat rondaan bagi memastikan semua peraturan dipatuhi.

"Sementara itu, di Kontijen Pulau Pinang seramai 6,451 pegawai dan anggota akan melaksanakan undi awal di 28 pusat mengundi melalui 33 saluran iaitu di IPK Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah pada 8 Ogos nanti," katanya.

Menurutnya, seramai 217 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi melancarkan perjalanan proses pengundian awal PRN itu. - Bernama