Penganggur ditahan cuba seludup petrol ke Thailand

Pegawai KPDN Perak memeriksa tangki minyak yang telah diubah suai pada bahagian but kereta di Pengkalan Hulu. Taktik seorang lelaki seludup keluar minyak petrol ke negara Thailand dengan mengubah suai tangki asal kereta berjaya ditumpaskan. - Foto ihsan KPDN Perak
Pegawai KPDN Perak memeriksa tangki minyak yang telah diubah suai pada bahagian but kereta di Pengkalan Hulu. Taktik seorang lelaki seludup keluar minyak petrol ke negara Thailand dengan mengubah suai tangki asal kereta berjaya ditumpaskan. - Foto ihsan KPDN Perak
A
A
A

GERIK - Taktik seorang penganggur mengubah suai tangki kereta untuk menyeludup keluar minyak petrol ke Thailand berjaya digagalkan oleh pihak berkuasa pada Khamis.

Tindakan lelaki warga tempatan berusia 55 tahun itu terbongkar selepas sebuah kereta jenis Mercedes-Benz dilihat Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di Pengkalan Hulu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, lelaki itu ditahan pasukan terbabit dan dibawa ke Kem Batalion 18, PGA Pengkalan Hulu.

"Pegawai Penguat Kuasa KPDN Cawangan Gerik melaksanakan tindakan sitaan barangan dan menahan suspek untuk siasatan lanjut.

"Antara barangan yang disita adalah kereta yang diubahsuai pada tangki asal, minyak petrol dianggarkan 68 liter, resit pembelian petrol dan dokumen lain berkaitan dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM13,839.40," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, siasatan mendapati lelaki berkenaan membeli antara 60 hingga 70 liter dan membawa serta menjual barang kawalan itu ke negara jiran.

"Dia didapati aktif menyeludup bahan bakar ini sejak dua tahun lalu dengan berulang-alik melalui sempadan setiap hari.

"Lelaki berkenaan mendapat keuntungan dengan menjual pada harga RM2.60 seliter," katanya.

Kamalludin berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen Akta Kawalan Bekalan 1961 dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali.