Tindakan terhadap Dominic tak cerminkan adab Islam - Saifuddin

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

GEORGETOWN - Tindakan seorang ahli Pas terhadap Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai di Ceramah Perikatan Nasional (PN) Best di Sungai Dua, Tasek Gelugor pada 1 Ogos lalu disifatkan sebagai biadab.

Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, layanan tidak elok yang diberikan kepada Dominic itu nyata tidak mencerminkan perwatakan Islam seperti yang dibawa oleh Pas.

Menurutnya, tindakan ahli Pas itu juga dilihat tidak mencontohi keperibadian Nabi Muhammad SAW dalam melayani tetamu.

"Pas merupakan sebuah parti yang memperjuangkan Islam, namun adakah wajar ahli mereka bertindak biadab terhadap rakan parti komponen PN? Ia jelas tidak mencerminkan apa yang diperjuangkan oleh parti itu selama ini.

"Pas tidak sepatutnya berkelakuan seperti itu terhadap Dominic walaupun berbeza pendapat berhubung pemilihan calon bagi kerusi Bayan Lepas dalam pilihan raya negeri (PRN) di Pulau Pinang.

"Nabi Muhammad SAW adalah contoh paling terbaik, banyak kali dilayan secara kasar oleh lawannya tetapi baginda tidak pernah membalas dengan cara yang sama, sebaliknya melayan dengan baik dan lemah lembut," katanya pada sidang media Majlis Makan Malam Amal Bersama Pemimpin anjuran Pertubuhan Kebajikan Kebudayaan dan Sosial Kaum India Pulau Pinang di sini pada malam Khamis.

Kata Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu lagi, semua pihak boleh berbeza pendapat namun perlu hormat memghormati antara satu sama lain.

"Kita boleh berbeza pendapat dengan Dominic tetapi saya tidak setuju dia dilayan begitu. PKR dan DAP ini banyak perbezaan dan persamaan, tetapi bagi menguruskannya tak pernah kita layan DAP seperti Pas melayan Dominic di Pulau Pinang. Begitu juga sebaliknya.

"Dalam politik, lumrahlah berbeza pendapat tetapi janganlah sampai kita layan buruk seperti itu. Duduk dalam parti memperjuangkan Islam tetapi tingkah laku seperti itu. Saya nak beritahu, saya Melayu dan Muslim. Ia bukan adab dan akhlak politik orang Islam," kata beliau lagi.

Sebelum ini, media melaporkan Dominic didakwa dihalang untuk hadir Ceramah Mega PN Best di Sungai Dua.

Ceramah mega itu menampilkan Presiden Pas merangkap Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Pengerusi Perhubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang merangkap calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Zulkifli Bakar.

Dilaporkan, Pengerusi PN Pulau Pinang itu diminta untuk meninggalkan majlis kerana dikatakan tidak diundang untuk menyertai program berkenaan.

Pencalonan Dominic di kerusi DUN Bayan Lepas sebelum ini dibantah ahli-ahli Pas Cawangan Bayan Lepas yang mengadakan bantahan aman serta mengugut akan memboikot pencalonan serta PRN kali ini.

Tambahan pula, pencalonan Dominic di kerusi itu juga mencetuskan tanda tanya apabila namanya tidak diumumkan sewaktu pengumuman rasmi calon PN Pulau Pinang oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Pongsu Seribu, Kepala Batas Khamis lalu.

Difahamkan, calon PN di kerusi Bayan Lepas pada mulanya diberikan kepada Pas yang menamakan Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

ARTIKEL BERKAITAN: Dominic sah bertanding di DUN Bayan Lepas

Dominic nafi dihalau dari ceramah Pas

Ketepikan hal peribadi, fokus bantu PN menang PRN - Dominic

Dominic akui berlaku salah faham dalam PN Pulau Pinang

Dominic hadir tanpa penyokong Pas

Dominic nafi guna 'kabel' dapatkan kerusi DUN Bayan Lepas

PRN: Dominic bertanding di Bayan Lepas, Pas akui jentera kena sabotaj

'PN tempah musibah jika calonkan Dominic di Bayan Lepas'

Dominic yakin dibantu semua parti komponen termasuk Pas

Pertikaian isu Nik Abduh, Dominic hanya sementara - Ahmad Faizal

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang enggan ulas isu Dominic