Ketepikan hal peribadi, fokus bantu PN menang PRN - Dominic

Dominic
Dominic
A
A
A

BAYAN LEPAS - Presiden Parti Gerakan (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menggesa penentangnya dalam parti supaya mengetepikan agenda peribadi dan membantu Perikatan Nasional (PN) untuk menang dalam pilihan raya negeri (PRN) ini.

Menurutnya, semua pihak harus bersatu padu untuk membantu Gerakan bagi memenangi hati rakyat sekali gus membolehkan PN menang dalam PRN.

"Ketepikan agenda peribadi anda, apa yang tidak baik untuk parti, tidak perlu dinyatakan dan disebut.

"Sekarang, semua orang harus 'satu hati' dan membantu parti memenangi PRN ini. Itu lebih penting," katanya ketika ditemui selepas menjalankan kempen pilihan raya di Taman Mas di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai gesaan oleh ahli Gerakan yang memintanya berundur sekiranya kalah di kerusi Bayan Lepas nanti.

Media melaporkan bahawa beberapa ahli Gerakan berpendapat bahawa Dominic harus bertanggungjawab dan meletak jawatan sebagai presiden parti jika beliau kehilangan kerusi Bayan Lepas.

Antaranya ialah bekas Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teik Meng yang tewas kepada Dominic dalam perebutan jawatan presiden parti.

Teik Meng bagaimanapun berharap agar Dominic berjaya memenangi kerusi tersebut, namun perlu bertanggungjawab dan berkorban untuk parti sekiranya beliau tewas.

Dalam pada itu, Dominic menegaskan, tidak kira sama ada menang atau kalah, beliau akan terus berkhidmat sebagai presiden parti mengikut Perlembagaan parti.

“Menang atau kalah, itu tidak penting.

“Sudah tentu kita baru sahaja selesai pemilihan parti, saya dan jawatankuasa saya telah diberi mandat untuk satu penggal lagi (tiga tahun) oleh ahli untuk memimpin parti dan kita akan lakukannya,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Dominic berkata, beliau tahu dan memahami punca di sebalik gesaan yang dibuat Teik Meng itu.

"Tidak mengapa, tiada apa yang perlu dirisaukan. Seperti yang saya katakan, saya harap semua orang boleh kembali. Saya mengalu-alukan mereka yang kalah dalam pemilihan parti baru-baru ini untuk kembali menyertai parti bagi membantu kita bangkit semula.

“Malah mereka yang mungkin tidak berada dalam pasukan saya (dalam pemilihan parti) juga diberi peluang untuk bertanding sebagai calon pada PRN kali ini.

"Seperti yang saya katakan, pemilihan parti sudah berakhir. Fokus kita sekarang adalah pada PRN. Saya harap mereka yang kalah dalam pemilihan parti kembali dan bantu calon kita untuk menang. Ini yang paling penting," katanya.

Beliau menambah, Gerakan sebagai sebuah parti demokratik, tidak mempunyai masalah dengan mana-mana pemimpin bahagian dalam memberikan pandangan peribadi mereka.

Sebelum ini, pencalonan Dominic di kerusi DUN Bayan Lepas dibantah ahli-ahli Pas Cawangan Bayan Lepas yang mengadakan bantahan aman serta mengugut akan memboikot pencalonan serta PRN kali ini.

Tambahan pula, pencalonan Dominic di kerusi itu juga mencetuskan tanda tanya apabila namanya tidak diumumkan sewaktu pengumuman rasmi calon PN Pulau Pinang oleh Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Pongsu Seribu, Kepala Batas Khamis lalu.

Difahamkan, calon PN di kerusi Bayan Lepas pada mulanya diberikan kepada Pas yang menamakan Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!