PRN: Perang bendera, psikologi tidak jamin kemenangan calon

Bendera-bendera parti politik yang bertanding dalam PRN Terengganu mula dipasang bagi menghangatkan lagi suasana kempen semasa tinjauan di Kampung Gelong. - Foto Bernama
Bendera-bendera parti politik yang bertanding dalam PRN Terengganu mula dipasang bagi menghangatkan lagi suasana kempen semasa tinjauan di Kampung Gelong. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Sebelum hari penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) membabitkan enam negeri berlangsung, jentera parti yang bertanding sudah sibuk memasang bendera masing-masing di sekitar kawasan mereka untuk memberi 'tanda awal' bahawa perang pilihan raya bakal bermula.

Sejak pengumuman calon Sabtu lepas, bilangan bendera digantung semakin meningkat setiap hari malah tinjauan Bernama mendapati ada yang membuat replika seperti wau, rumah dan kereta sebagai representasi parti masing-masing.

Dekan Pusat Pengajian Sekolah Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG) Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Hubungan Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Rusdi Omar berkata, perang bendera oleh setiap parti adalah bersifat serangan psikologi kepada pengundi setempat untuk menunjukkan bahawa pengaruh mereka kuat di kawasan tersebut.

"Jika pilihan raya tanpa ada perang bendera parti, mesti ia tidak menarik dan meriah sebab perang bendera ini juga penting untuk membangkitkan suasana serta semangat ketika berkempen kepada calon dan pengundi.

"Sebenarnya jumlah bendera banyak atau sikit bukanlah penentu kemenangan calon kerana pendekatan kempen zaman sekarang telah berubah mengikut arus teknologi dengan pengundi dan calon lebih gemar menggunakan media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram sebagai bahan baharu kempen," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Rusdi berkata, walaupun media sosial adalah trend terkini dalam kempen pilihan raya, cara tradisional seperti menggantung bendera, poster calon dan sebagainya tidak boleh diabaikan oleh jentera parti kerana sesetengah kawasan di pedalaman yang sukar mendapatkan akses Internet memerlukan bahan kempen seumpama itu untuk mengenali calon.

Seorang pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Temangan, Noor Atikah Azli, 26, berkata, beliau lebih tertarik melihat kempen calon menerusi TikTok kerana mengandungi video pendek selain dapat mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti yang dilakukan walaupun tidak dapat bersemuka di lokasi dikunjungi calon.

"Kempen menggunakan media sosial perlu dilakukan oleh calon dan parti kerana ia sangat penting terutama generasi muda dan pengundi 'atas pagar' yang kadangkala mengundi bukan kerana parti tetapi ingin melihat keperibadian calon di kawasan mereka.

"Tidak boleh dinafikan bahawa bilangan bendera juga boleh mempengaruhi sesuatu keputusan di kawasan mereka tetapi ia sebenarnya tidak menjamin kemenangan kerana parti dan calon perlu melakukan perubahan mengikut arus pemodenan," katanya.

Pengundi DUN Panchor, Mohd Zulfadhli Rosley, 32, pula berkata, pendekatan kempen yang digunakan calon seperti media sosial, bendera dan poster di kawasan mereka perlu selari dengan usaha yang dilakukan kerana jika terlalu menonjol di Facebook dan Instagram tetapi bendera dan poster tidak digantung di sekitar DUN, ia menjadi tidak seimbang dengan promosi kempen yang dilakukan oleh jentera parti. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!