UTM IPTA pertama lancar makmal maya

UTM institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama di negara ini yang melancarkan makmal maya. (Gambar kecil: Ahmad Fauzi)
UTM institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama di negara ini yang melancarkan makmal maya. (Gambar kecil: Ahmad Fauzi)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatatkan sejarah tersendiri apabila muncul sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama di negara ini yang melancarkan virtual laboratory (makmal maya).

Menurut Naib Cancelor UTM, Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail, pelancaran makmal maya berkenaan merupakan satu insiatif di bawah perancangan strategik enVision UTM 2025 bagi menyokong pembelajaran secara hibrid, terbuka dan jarak jauh.

"Setakat ini, makmal maya telah digunakan secara rasmi di beberapa fakulti seperti Fakulti Kejuruteraan Kimia, Fakulti Sains dan lain-lain.

"Penubuhan makmal maya ini penting kerana dapat memudahkan urusan pelajar dan pensyarah sekali gus dapat menambah nilai kepada proses pembelajaran sedia ada," katanya.

Ahmad Fauzi berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran Bulan Kemerdekaan 2023 di Dewan Sultan Iskandar, UTM pada Selasa.

Sementara itu Ahmad Fauzi berkata, kewujudan makmal secara maya ini akan diperluas ke pelbagai fakulti lain di UTM secara berperingkat.

Katanya, ia turut melibatkan kampus-kampus cawangan UTM seperti di Kuala Lumpur dan Pagoh.

"Kalau boleh, kita nak setiap fakulti itu ada makmal maya ini sebab kalau program beratus, jadi setiap fakulti kita akan bahagikan tugasan untuk ada sekurang-kurangnya tiga virtual lab ini daripada setiap fakulti.

"Di UTM, ada berpuluh program, jadi kita mulakan dahulu dengan program... kalau kita ada tiga (program) kali dengan 12 (fakulti) kita dah ada 36 virtual lab ini," katanya.