Bekalan baja untuk petani dijamin cukup

Che Ani & Hussin
Che Ani & Hussin
A
A
A

ALOR SETAR - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memberi jaminan bahawa bekalan baja kepada petani dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) akan dibekalkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Pengerusi Nafas, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, prosedur pembekalan semasa telah menetapkan bahawa pembekalan baja perlu dibuat selewat-lewatnya 30 hari daripada tarikh pesanan diterima.

Katanya, sehingga 30 April, sebanyak 21,500 metrik tan pesanan baja telah diterima daripada Mada.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7.718 metrik tan telah dibekalkan dan baki sebanyak 14,323 metrik tan akan dibekalkan secara berperingkat sehingga 31 Mei depan, sepertimana prosedur pembekalan yang ditetapkan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, Nafas tidak mempunyai sebarang masalah untuk membuat pembekalan kerana mempunyai stok baja yang mencukupi.

"Malah Nafas bertindak proaktif membuat pembekalan baja seawal minggu pertama bulan April walaupun kontrak lanjutan pembekalan diterima pada 5 April.

"Ketika ini, petani kawasan Mada dalam proses menyediakan tapak untuk menabur benih padi dan akan mula menabur baja kali pertama selepas 15 hari

"Sekiranya berlaku kelewatan, petani boleh membuat aduan kepada Nafas atau Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) masing-masing,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Phahrolrazi berkata, berkaitan dakwaan terdapat PPK yang belum menjalankan bancian baja di kawasan masing-masing, beliau berkata, proses tersebut hanya untuk kegunaan musim kedua tahun ini.

"Bagi musim pertama tahun ini, kita menggunakan rekod pembekalan baja yang sedia ada, jadi pesawah yang belum terlibat dengan bancian untuk musim pertama jangan bimbang kerana baja akan tetap diedarkan kepada mereka dalam tempoh ditetapkan.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan kira-kira 68,000 petani dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di negeri Kedah/Perlis gusar apabila masih belum menerima baja untuk kegunaan sawah bagi musim I/2019.

ARTIKEL BERKAITAN: Petani gusar bekalan baja lewat