Bahana kenalan laman sosial, duit KWSP lebur

Lee (dua, kanan) ketika ditemui pada sidang media bersama Adun Canning, Jenny Choy Tsi Jen di Wisma Impian, hari ini.
Lee (dua, kanan) ketika ditemui pada sidang media bersama Adun Canning, Jenny Choy Tsi Jen di Wisma Impian, hari ini.
A
A
A

IPOH - Seorang wanita berputih mata apabila duit simpanan termasuk wang persaraannya berjumlah lebih RM110,000 lebur akibat ditipu lelaki mengaku warga Amerika Syarikat yang dikenali menerusi laman sosial Facebook, Mac lalu.

Hanya mahu dikenali sebagai Lee, 57, mula terjerat dengan penipuan selepas lelaki dikenali sebagai Alvin Ong itu meminta bantuannya meminjamkan wang untuk membayar sewa rumah dan kos projek.

Ketika ditemui pada satu sidang media hari ini, dia berkata lelaki itu mendakwa bekerja sebagai pengarah projek di sebuah syarikat teknologi pelantar minyak dan marin di Singapura.

Menurutnya, pada awalnya lelaki itu mahu meminjam wang untuk membayar rumah sewa berjumlah RM9,500, atas dasar percaya dia memasukkan wang tersebut ke dalam satu akaun.

"Bagaimanapun, jumlah itu masih belum mencukupi menyebabkan dia meminta RM11,900 dan mahu meminjam RM30,000 lagi, semua wang itu saya masukkan ke dalam akaun tidak kurang dalam tempoh lima hari.

"Saya gunakan semua wang simpanan dan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang saya simpan selama ini," katanya.

Lee berkata, tiga hari kemudian, lelaki terbabit sekali lagi meminta bantuannya mendahulukan wang untuk membayar bahan projek berjumlah RM13,000 dan RM10,000 sebagai caj bank.

Katanya, sebaik transaksi dibuat, dia menerima panggilan daripada seorang wanita mengaku sebagai pegawai akaun deposit bank meminta membayar tambahan RM36,000 sebagai caj tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya mengikut segala arahan dan memasukkan jumlah wang seperti dimahukan.

"Saya mula sedar ditipu apabila diminta membayar RM54,000 hanya kerana memarahi pegawai wanita itu," katanya.

Dia berkata, lelaki itu ada mengemukakan gambar sebagai bukti pemindahan wang berjumlah AS$7,000 dan AS$7,300 dibuat bagi membayar semula pinjamannya, namun duit itu tiada dalam akaunnya.

"Satu laporan polis telah dibuat untuk menyiasat perkara ini, saya harap tidak ada mana-mana individu yang mengalami nasib sama seperti saya.

"Sehingga hari ini, lelaki berkenaan masih lagi cuba menghubungi saya untuk meminta wang," katanya.