X

Kindly register in order to view this article
!

Enak, tapi hanya mampu menghidu

A
A

HARI ketiga, ada yang mengejutkan ketika saya singgah di sebuah bazar Ramadan di Petaling Jaya. Orang ramai seperti biasa pada hari-hari awal puasa.

Tetapi ada yang luar biasa. Air kelapa muda yang biasanya RM3.50 satu plastik, dijual RM6. Sebenarnya dua hari sebelum puasa saya minum air kelapa di Subang Jaya, masih harga biasa, mengapa sekarang naik hampir dua kali ganda?

Saya diberitahu seorang teman, di bazar lain, air tebu yang selalunya RM4 sekoleh, dijual pada harga RM7. Dikhabarkan air tembikai, mata kucing, laici, sirap bandung juga naik.

Maka saya setuju dengan sinis kawan bahawa ketika semua air naik, hanya dua air yang turun (ke bawah), iaitu air hujan dan air kencing!

Karipap 50 sen sekeping, naik 10 sen. Apam balik tidak berubah, kekal RM2 sekeping. Tetapi saiznya berubah, semakin tipis. Saya percaya rasanya pun berubah!

Paling menyentuh perasaan, goreng keledek – dia mendakwa keledek dari Jepun! – sebesar tiga jari dijual 50 sen satu. Dipotong terlalu nipis. tidak layak dipanggil sekeping, lebih sesuai disebut sehelai.

Jangan tanya lauk-pauk! Ikan cencaru goreng bercili, RM6 seekor, pari bakar RM7 seketul, ikan kembung percik RM7, ikan terubuk panggang RM12.

Kalau isteri saya mengidam kari udang galah, alamat anak yang lahir meleleh air liur, sebab saya tidak tergamak membeli lauk idamannya itu, RM20 seekor!

Baik satu plastik air kelapa, sepotong karipap, hatta ‘sehelai’ goreng keledek, bagi kebanyakan orang biasa mereka hanya dapat menghidu bau, sambil menelan liur.

Saya tidak pasti apakah kerana nilai RM yang meleset atau ekonomi yang menjunam atau permainan lintah darat yang menyebabkan semua itu naik.

Apa yang pasti makanan dan juadah yang selama ini menjadi kegemaran kebanyakan rakyat biasa, kini hanya mampu untuk direnung, bukan mampu milik.

Syukur saya masih mampu membeli apa yang kelihatan membuka selera, gulai nangka masak lemak. RM5 empat-lima potong nangka dicampur satu-dua cakar dan leher ayam.

Apa agaknya yang mampu dibeli oleh pekerja biasa untuk diberi kepada seisi keluarga? Bolehkah mereka berkongsi seekor kembung percik untuk isteri dan anak-anak?

Betapa halnya mereka yang kehilangan pekerjaan, anak ramai. Sayu apabila mengenangkan apa yang terhidang di meja makan waktu berbuka.

Apakah orang berduit dapat merasakan keperitan yang dihadapi oleh orang miskin yang benar-benar menahan selera – kerana tidak mampu – pada bulan al-Mubarak ini?

Ada yang menelan liur kerana tidak mampu membeli kembung percik pada harga RM7. Ada yang meneguk air sejuk kerana tidak mampu membeli air tebu RM4 segelas.

Tetapi pada waktu sama ada yang sanggup, malah megah, membayar RM150 hingga RM200 per kepala untuk berbuka puasa di hotel dan kelab-kelab eksklusif.

Sejak sebelum Ramadan, restoran mewah dan hotel terkemuka – termasuk yang tidak berlogo ‘halal’ – mengiklankan berbagai pakej berbuka untuk mereka yang berduit.

Diiklankan berpuluh lauk-pauk, beraneka juadah, kuih-muih, berjenis minuman dan sekian banyak pencuci mulut. Anggur, buah kiwi, mangga luar negara, kurma terbaik, semua ada.

Apa yang diuar-uarkan itu bukan auta, betul-betul dihidangkan untuk dinikmati, berbaloi-baloi.

Apakah dengan membayar RM150 per kepala kita mampu menikmati semua yang dihidangkan? Berapa banyak yang boleh diterima perut kita? Mungkin dua gelas minuman, sebiji dua kurma, sepinggan nasi dan seketul ayam panggang, semuanya mungkin tidak sampai RM50. Berbaloi?

Tetapi, yang RM5 pun tidak semestinya berbaloi. Buktinya: gulai nangka yang saya beli itu, rasanya baik sedikit sahaja daripada angka celur. Kuahnya cair, tidak ada rempah, tiada perasa. Saya percaya ramai pembeli di bazar Ramadan, tertipu oleh mata. Maka pada bulan mulia ini si penipu patut insaf!

* Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!