Peniaga bazar Ramadan lega masalah hampir 10 tahun selesai

Muhamad Arafat (kanan) beramah mesra dengan pengunjung bazar Ramadan selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Bazar Ramadan Taman Perpaduan, Hulu Kinta pada Selasa.
Muhamad Arafat (kanan) beramah mesra dengan pengunjung bazar Ramadan selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Bazar Ramadan Taman Perpaduan, Hulu Kinta pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Peniaga Bazar Ramadan Taman Perpaduan di sini menghela nafas lega apabila masalah banjir kilat yang sering berlaku sejak hampir 10 tahun di kawasan berkenaan selesai.

Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Melayu dan Pasar Malam Bergerak Bahagian Kinta, Jaafar Uthman berkata, sejak mengambil alih tapak bazar Ramadan terbabit pada tahun 2014, masalah banjir kilat sering berlaku apabila hujan lebat.

Menurutnya, masalah tersebut telah dipanjangkan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui Ahli Majlis, Datuk Mazlan Abd Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad untuk diselesaikan terutama di bahagian yang terjejas teruk.

"Sebelum ini, kalau hujan lebat, air akan naik macam banjir kilat dalam setengah jam atau satu jam sebelum surut sepenuhnya. Jadi peniaga terpaksa meniaga dalam keadaan air bertakung dan pengunjung bazar Ramadan pun tak selesa.

"Pada hari ini, saya amat gembira kerana kita minta sikit sahaja, tetapi dapat semua satu Bazar Ramadan diturap habis dalam masa tiga hari. Saya ucapkan terima kasih kepada MBI kerana ambil perhatian selesaikan masalah ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembukaan Bazar Ramadan Taman Perpaduan, Hulu Kinta pada Selasa.

Sementara itu, Muhamad Arafat yang ditemui memaklumkan turapan keseluruhan kawasan bazar Ramadan terbabit dilaksanakan selepas tinjauan dibuat dua minggu sebelum Ramadan.

Jelasnya, kos keseluruhan penambahbaikan tapak bazar itu melibatkan peruntukan RM220,000 dan berjaya disiapkan sebelum Ramadan bermula.

Beliau berkata, seramai 149 orang peniaga bazar Ramadan dapat menikmati kemudahan yang telah dinaik taraf itu.