Tuntut dividen getah: Polis sahkan terima laporan Tok Batin

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah mengesahkan menerima satu laporan polis daripada Tok Batin Kampung Orang Asli Lubuk Legong di Baling berkaitan rasa tidak berpuas hati peserta terhadap sebuah syarikat pengurusan ladang getah di kampung berkenaan pada pagi Isnin.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kedah, Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, pengadu mewakili peserta ladang getah mendakwa syarikat gagal melunaskan tunggakan bayaran dividen ladang kepada peserta yang dianggarkan sebanyak RM200,000.

"Syarikat Rimba Bayu Enterprise dimiliki dan diuruskan oleh Mohd Taufik Yaacob yang merupakan Calon Perikatan Nasional di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu untuk PRU DUN Ke-15," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Alzafny yang juga jurucakap media PRN ke-15 Kontinjen Polis Kedah menjelaskan, kertas inkuiri ataupun siasatan dalaman telah dibuka bagi siasatan dijalankan sebelum polis mengklasifikasikan kes berkenaan mengikut seksyen bersesuaian.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan 43 peserta ladang getah Orang Asli Suku Kensui di Kampung Lubuk Legong, Baling kecewa kerana tidak menerima dividen getah yang tertunggak sejak setahun lalu daripada sebuah syarikat pengurusan yang menguruskan ladang berkenaan.

Tok Batin, Razali Kulim berkata, berdasarkan perjanjian dengan syarikat tersebut, mereka yang merupakan peserta ladang getah tersebut menerima dividen sebanyak RM300 setiap seorang sejak tahun 2012.

Menurutnya, laporan polis kedua dibuat di Balai Polis Baling pada Isnin selepas laporan polis pertama dibuat pada 3 Mei lalu.