Kelantan tetap sedia bas percuma kepada pelajar IPT balik mengundi

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob (dua, kiri) memegang buku Manifesto sempena Pelancaran Program Manifesto Pilihan Raya Umum Perikatan Nasional (PN) negeri Kelantan di Dataran Majlis Daerah Tanah Merah pada Isnin. - Foto Bernama.
Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob (dua, kiri) memegang buku Manifesto sempena Pelancaran Program Manifesto Pilihan Raya Umum Perikatan Nasional (PN) negeri Kelantan di Dataran Majlis Daerah Tanah Merah pada Isnin. - Foto Bernama.
A
A
A

TANAH MERAH - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri tetap meneruskan perkhidmatan bas percuma kepada pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini sebagai kemudahan untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, secara umum perkhidmatan berkenaan dilihat seolah-olah untuk membeli undi.

Bagaimanapun, beliau menafikan sangkaan berkenaan dan ia merupakan satu janji kerajaan negeri kepada rakyat.

"Ada pelajar IPT yang tidak mempunyai kewangan mencukupi tetapi pada masa sama mahu menjalankan tanggungjawab mengundi.

"Jadi kita membuat keputusan menyediakan perkhidmatan bas percuma," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ceramah dan Pelancaran Program Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Kelantan Maju Rakyat Sejahtera (Manifesto PRU Dewan Negeri Kelantan ke-15) pada Isnin.

Beliau pada masa sama mahu pihak terbabit memberi penjelasan mengenai isu berkenaan bagi memudahkan pelaksanaannya.

Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan tindakan pemberian geran bernilai RM350,000 oleh kerajaan kepada belia Terengganu tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki memaklumkan, sebagai sebuah kerajaan pemerintah, inisiatif itu wajar difikirkan untuk rakyat

Ahmad mendakwa, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pemberian geran di Terengganu jelas mahu membeli undi, namun dikatakan sebaliknya.

“Kita di peringkat negeri masih lagi kerajaan walaupun kerajaan caretaker dan boleh melakukannya sebagaimana kerajaan pusat.

“Jika macam itu pun bukan rasuah, jadi yang sebenar rasuah adalah macam mana?” katanya.

Justeru Ahmad berkata, pihak berkenaan perlu ada panduan berkaitan pelaksanaan yang dilakukan itu sama ada berbentuk rasuah atau sebaliknya.

Azam sebelum ini juga dilaporkan memberitahu, pengundi perlu tahu hak sebagai pengundi dan bertanggungjawab untuk pulang mengundi tanpa berharap menerima sebarang 'pertolongan' daripada calon bertanding.

Beliau turut memaklumkan, pemberian wang kononnya sedekah, bayaran tiket bas atau memberi ole-ole ketika musim pilihan raya merupakan suatu kesalahan dan menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada 6 Julai lalu, kerajaan negeri mengumumkan menyediakan perkhidmatan bas kepada pelajar IPT untuk pulang mengundi pada PRN pertengahan Ogos.

Keputusan berkenaan dibuat melalui Persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 21 Jun lalu bagi memudahkan pelajar di luar Kelantan pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.