Universiade: Malaysia lepasi sasaran pingat edisi Chengdu

SEJARAH tercipta pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) edisi ke-31 di Chengdu, China apabila Malaysia merangkul pingat emas pertama pada temasya sukan yang dianggap sebagai Sukan Olimpik universiti itu.
Pencapaian cemerlang dari sukan wushu dengan satu emas dan tiga gangsa sekali gus menyaksikan sasaran tiga pingat yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi berjaya dilepasi pada Ahad.
Paling tidak disangka apabila kesemua pingat itu diperoleh menerusi sukan wushu setakat ini.
Wushu kali pertama di pertandingkan pada Universiade Taipei 2017 apabila Malaysia meraih satu pingat perak dan dua gangsa.
Malangnya pada Universiade Napoli, Itali 2019 acara wushu tidak disenaraikan.
Bagaimanapun ia tidak menghalang kejutan paling besar di Chengdu apabila pelajar Universiti Asia Pasifik, Tammy Tan Hui Ling merangkul pingat emas menerusi acara qiangshu Wanita.
Kejayaan itu sekali gus menamatkan kemarau 38 tahun Malaysia sejak kali pertama menyertai temasya di Universiade Kobe pada tahun 1985.
“Saya tidak memperoleh apa-apa pingat dalam acara sebelum ini (Jianshu) dan perasaan saya sedikit terganggu.
“Namun ahli psikologi kami memberikan panduan dan galakan yang sungguh kuat kepada saya dan ini benar-benar membantu.
Saya sangat gembira dan kongsikan pingat ini untuk negara,” ujar Tammy.
Paling membanggakan kesemua atlet wushu negara menyumbang pingat di temasya kali ini.
Tiga lagi pingat gangsa daripada wushu disumbangkan oleh Mandy Cebelle Chen menerusi acara tajiquan wanita.
Calvin Lee Wai Leong turut mendapat gangsa menerusi acara nangun lelaki dan pingat terakhir diperoleh menerusi ang qi yue dalam acara daoshu lelaki.
Kejayaan skuad wushu di Universiade Chengdu itu sudah pasti membawa era baharu kepada pengukuran prestasi atlet Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara pada temasya yang akan datang.
Penyertaan kontinjen Malaysia dalam acara wushu berakhir pada Ahad kerana tidak mengambil bahagian dalam acara sanda dan taolu.
Universiade: Kontinjen Malaysia alih tumpuan acara badminton di Chengdu
Kontinjen Malaysia pada Universiade di Chengdu, China kini beralih tumpuan kepada sukan badminton selepas acara wushu membabitkan atlet negara berakhir pada Ahad.
Malaysia melangkah ke peringkat suku akhir setelah muncul juara Kumpulan B dalam acara berpasukan campuran.
Pada saingan terakhir peringkat kumpulan, Malaysia tidak berdepan masalah menewaskan Poland 5-0 pada Isnin.
Pada perlawanan pertama Sabtu lalu, skuad badminton campuran Malaysia menewaskan Singapura 5-0.
Bagaimanapun pada perlawanan kedua Malaysia terpaksa memberikan satu mata percuma ketika menentang Amerika Syarikat sebelum menang 4-1.
Ia berikutan kecederaan ‘hamstring’ yang dialami oleh pemain perseorangan negara, S. Kisona yang terpaksa menarik diri pada set kedua.
Beliau direhatkan dan tempatnya digantikan oleh Yap Rui Chen pada aksi perseorangan wanita ketika menentang Poland dan Rui Chen diberikan tentangan sengit sebelum menang ke atas Khomich Anastasiya 21-17, 19-21, 21-14.
Kecederaan Kisona dikatakan agak membimbangkan pasukan Malaysia dan dijangka tidak dapat beraksi di peringkat suku akhir pada Selasa.
“Kecederaan Kisona nampak macam teruk, saya nampak dia nak berjalan pun macam sangkut-sangkut.
Bagaimanapun dalam tempoh terdekat kita akan tahu statusnya,” ujar jurulatih badminton Universiade Malaysia, Mohd Zakry Latiff.
Sukan badminton turut menjadi sandaran untuk menambah pungutan pingat di Universiade Chengdu walaupun sasaran pingat negara sudah dilengkapkan oleh sukan wushu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
