DUN Melaka lulus pindaan perlembagaan berkaitan lompat parti

DUN Melaka pada Isnin meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti. - Foto Facebook Rais Yasin
DUN Melaka pada Isnin meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti. - Foto Facebook Rais Yasin
A
A
A

MELAKA - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Isnin meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika membentangkan pindaan itu berkata, rang undang-undang tersebut dicadangkan berikutan Parlimen telah meminda Seksyen 6 dan 7 Jadual Ke-8 Perlembagaan Persekutuan menerusi Seksyen 6 Akta Perlembagaan Pindaan 2022 (Akta A1663) yang berkuat kuasa 5 Oktober 2022.

Beliau berkata, pindaan Seksyen 6 Akta A1663 itu telah memadamkan Subseksyen 5 Seksyen 6 dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang mana sebelum pindaan berkenaan berkuat kuasa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melepaskan keahlian dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) akan hilang kelayakan sebagai ADUN bagi tempoh lima tahun dari tarikh pelepasan jawatan tersebut.

"Dalam bahasa mudahnya, setelah pindaan ini berkuat kuasa, mana-mana ADUN yang melepaskan jawatan kini tidak lagi disekat untuk bertanding semula sebagai ADUN manakala pindaan Seksyen 7 Jadual Ke-8 Akta A1663 pula telah memasukkan seksyen baharu iaitu Seksyen 7A yang mana melarang ADUN untuk bertukar parti.

"Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan merupakan peruntukan-peruntukan penting yang perlu dimasukkan ke dalam Perlembagaan oleh mana-mana negeri, justeru kerajaan negeri Melaka turut mengambil langkah untuk meminda Perlembagaan Negeri Melaka bagi menyelaraskan undang-undang negeri Melaka dengan undang-undang di peringkat Persekutuan, bagi membawa dimensi baharu dalam politik tanah air kita,” katanya pada Sidang DUN Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada Isnin.

Ab Rauf berkata, susulan itu, kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan Cadangan Pindaan Perkara 6 dan 7A Perlembagaan Negeri Melaka berhubung kuat kuasa undang-undang antilompat parti pada 14 Jun lepas dan cadangan pindaan itu diluluskan Jawatankuasa Perlembagaan Negeri pada 5 Julai.

Katanya, pindaan itu dilaksanakan menerusi Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 yang dibentangkan hari ini bagi mendapatkan kelulusan Badan Perundangan Negeri.

Rang undang-undang berkenaan diluluskan setelah mendapat sokongan 24 ADUN manakala empat ADUN tidak hadir. - Bernama