'Sudah tiba masanya PN ambil alih' - PN Selangor

Dari kiri: Hak Beang, Roslan Shahir dan Azman pada sesi memperkenalkan latar belakang calon PN negeri Selangor di Shah Alam pada Isnin.
Dari kiri: Hak Beang, Roslan Shahir dan Azman pada sesi memperkenalkan latar belakang calon PN negeri Selangor di Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) Selangor berpendirian sudah tiba masanya perlu ada perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir sehubungan itu berkata, PN Selangor meletakkan seramai 56 calon profesional dan berkelayakan sebagai calon dalam menguruskan negeri Selangor.

"Kita faham (kelayakan calon) dan tahu (keperluan negeri) sebab kita pernah berada dalam kerajaan Selangor dan negeri ini merupakan sebuah negeri kaya, yang hasilnya setahun melebihi RM2 bilion.

"Kita juga merasakan Pakatan Harapan (PH) yang telah diberi peluang selama satu penggal namun tidak dapat untuk memenuhi hasrat dan kehendak rakyat negeri Selangor.

"Jadi kita melalui beberapa proses untuk memastikan calon yang kita kemukakan ini bukan sahaja berkelayakan tetapi boleh diterima rakyat negeri Selangor," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau ditemui pada sesi memperkenalkan latar belakang calon PN negeri Selangor di Bilik Gerakan Utama PN Selangor di Emira Residen & Urban Retail di Seksyen 13, di sini.

Hadir sama, Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Selangor, Datuk Azman Yaakob dan Setiausaha Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Chong Hak Beang.

PN Selangor meletakkan 56 calon terdiri dari 40 calon Melayu, Cina (10) dan India (enam) dengan 43 calon adalah muka baharu serta 12 adalah calon muda dengan purata umur adalah 47 tahun.

Ketika ditanya mengenai calon Menteri Besar PN Selangor, beliau memaklumkan kesemua 56 calon PN yang bertanding adalah layak untuk dipilih sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Ujarnya, proses dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor disebut bahawa hak untuk memilih Menteri Besar ini adalah di bawah kuasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Jadi mana-mana parti mempunyai majoriti lebih daripada 29 kerusi akan dijemput ke istana untuk menghantar nama untuk dipertimbangkan oleh Tuanku Sultan sebagai Menteri Besar.

"Kita pernah tengok pengalaman Parti Keadilan Rakyat dahulu apabila Tuanku Sultan minta dua tiga nama, tapi yang dihantar satu nama dan kemudiannya nama itu ditolak oleh Tuanku," katanya.

Beliau berkata, jika rakyat memberi mandat kepada PN, gabungan parti itu akan mengemukakan nama-nama calon yang layak sebagai calon Menteri Besar untuk dipertimbangkan Sultan Selangor.

"Kita juga tidak mahu (tiada keperluan) mendedahkan nama-nama yang telah disenarai pendek kerana kita merasakan semua calon PN layak untuk menjadi Menteri Besar Selangor," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!