28 kes buli babitkan 51 pelajar dilaporkan

Sebanyak 28 kes buli membabitkan 51 pelajar sekolah dilaporkan di Melaka dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini. - Gambar hiasan
Sebanyak 28 kes buli membabitkan 51 pelajar sekolah dilaporkan di Melaka dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini. - Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 28 kes buli membabitkan 51 pelajar sekolah dilaporkan di Melaka dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 16 kes adalah berdasarkan laporan polis melibatkan sembilan kes di Melaka Tengah, enam kes di Alor Gajah dan satu kes di Jasin.

"Saya dan kerajaan negeri memandang serius kes buli ini dan saya sendiri turun ke sekolah bersama pasukan petugas khas pada waktu malam untuk memberi penerangan dan penjelasan berkaitan isu buli ini," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Dr Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) yang ingin tahu mengenai kes buli membabitkan pelajar sekolah di Melaka dan bentuk hukuman yang dikenakan.

Mengulas mengenai hukuman yang dikenakan kepada pembuli, Rahmad berkata, ada yang dirotan, digantung sekolah atau dibuang sekolah, selain ada yang hanya diberikan amaran.

Beliau berkata, semua hukuman berkenaan adalah berdasarkan hasil siasatan lembaga disiplin sekolah dan diputuskan oleh pengetua dan guru besar berdasarkan punca kuasa dikeluarkan Kementerian Pendidikan iaitu Surat Pekeliling Iktisas Bil.8 Tahun 2010 dan Garis Panduan Mencegah dan Menangani Perbuatan Buli Dalam Kalangan Murid Sekolah.

"Setiap laporan polis yang dibuka melibatkan pergaduhan atau buli di sekolah dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga tempoh sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

"Namun begitu, semasa dalam proses siasatan polis terdapat perbincangan yang dijalankan antara kedua-dua pihak yang diselesaikan secara mediasi dengan hanya dikenakan hukuman disiplin seperti buang sekolah," katanya.

Beliau berkata, dalam usaha menangani kes buli di negeri ini, semua sekolah perlu melaksanakan program intervensi, pencegahan dan penguatkuasaan menerusi aktiviti seperti program kesedaran, kempen antibuli, pemantapan perkhidmatan, bimbingan dan kaunseling untuk murid sekolah, selain mewujudkan peti aduan sebagai saluran bagi murid melaporkan kes buli.

Katanya, Portal Aduan Buli juga diwujudkan untuk ibu bapa melaporkan kes buli, selain kerajaan negeri menubuhkan pasukan petugas khas intervensi buli yang diuruskan Jabatan Pendidikan Melaka dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, sebanyak 652 program advokasi mencegah buli dilaksanakan tahun lepas di sekolah-sekolah dan setakat enam bulan pertama tahun ini, 412 program advokasi telah dijalankan.

Katanya lagi sebanyak 238 pegawai rendah polis dilantik sebagai pegawai perhubungan sekolah di peringkat sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan dan sekolah rendah agama, manakala bagi peringkat sekolah menengah kebangsaan, sekolah teknik, kolej vokasional, kolej tingkatan enam, sekolah berasrama penuh, sekolah menengah kebangsaan agama dan sekolah menengah agama bantuan kerajaan, sebanyak 79 pegawai kanan polis memainkan peranan itu. - Bernama