Elak 3R, hormati 3C

Bahang PRN semakin terasa selepas bendera-bendera parti mula dipasang oleh jentera parti. - Gambar hiasan
Bahang PRN semakin terasa selepas bendera-bendera parti mula dipasang oleh jentera parti. - Gambar hiasan
A
A
A

SECARA rasminya, tirai pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri melibatkan Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu dibuka pada Sabtu lalu.

Seramai 570 individu bertanding bagi merebut 245 gelaran Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Dua individu lagi mengintai peluang untuk bergelar Ahli Parlimen Kuala Terengganu, susulan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim daripada Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu kerana wujud unsur rasuah dan sogokan sewaktu berkempen.

Sebelum bermulanya tarikh rasmi PRN, kerajaan telah melarang dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang berkempen sambil menyentuh isu sensitif melibatkan kaum, agama dan institusi raja (3R).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor misalnya, telah menjadi pemimpin pertama didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politiknya.

Jadi, bagi mengelak ketegangan politik terutama dalam kalangan penyokong, semua parti politik bertanding pada PRN diingatkan agar berpolitik mengikut polisi dan dasar parti masing-masing.

Rakyat harus difahamkan bahawa politik bertujuan membangkitkan isu-isu berkepentingan rakyat, bukannya mewujudkan persengketaan atau perkara-perkara yang tidak perlu diperdebatkan atau dibincangkan.

Pada masa sama, Kerajaan Madani perlu mematuhi larangan 3C iaitu No Conditions (tidak bersyarat), No Campaign (tidak berkempen) dan No Candidates (tidak bawa calon) bagi mengelak penyalahgunaan kuasa dalam tempoh kempen PRN.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengawal anggota kabinet dan semua ketua agensi Persekutuan untuk tidak semberono membuat pengumuman dasar atau peruntukan yang melanggar larangan 3C.

Ia bagi memastikan setiap calon bertanding mempunyai peluang sama rata bagi mengangkat perjuangan setiap parti untuk menambat hati pengundi dan bukannya menjadikan gula-gula pilihan raya sebagai umpan menarik sokongan.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!