Ahli Parlimen Sabak Bernam sah keluar Umno

 Mohd Fasiah Mohd Fakeh
Mohd Fasiah Mohd Fakeh
A
A
A
SABAK BERNAM - Sumber terdekat kepada Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh mengesahkan pemimpin itu meninggalkan Umno, berkuatkuasa semalam.

Sumber itu berkata, tindakan keluar parti itu diputuskan Mohd Fasiah secara bersendirian dan beliau kini menjadi Ahli Parlimen Bebas.

"Saya dimaklumkan beliau (Mohd Fasiah) tiada di kawasan kerana menziarahi saudara terdekat yang meninggal dunia di Taiping, Perak. Beliau dijangka pulang ke Sabak Bernam Isnin ini," katanya.

Menurut sumber, Mohd Fasiah yakin beberapa rakan terdekatnya bakal mengikut langkahnya keluar meninggalkan parti.

Mengulas mengenai jumlah ahli Umno bahagian itu yang dijangka mengikut jejak langkah Mohd Fasiah, sumber itu memaklumkan tidak mengetahui angka tepat.

"Mungkin akan berlaku di semua peringkat menyertai beliau (Mohd Fasiah)," katanya.

Sementara itu Mohd Fasiah gagal dihubungi sejak semalam untuk mendapatkan maklum balas mengenai isu terbabit.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung surat peletakan jawatan enam Ahli Parlimen Umno yang sudah pun diserahkan kepada Setiausaha Agong Umno, Tan Sri Annuar Musa, berkuatkuasa hari ini.

Selain Mohd Fasiah, mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Artikel Berkaitan: