11 negara sertai Festival Layang-Layang Antarabangsa di Pahang

Pengunjung turut menaikkan layang-layang yang mereka beli sekali gus memeriahkan festival di Pantai Sepat pada Sabtu.
Pengunjung turut menaikkan layang-layang yang mereka beli sekali gus memeriahkan festival di Pantai Sepat pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 11 negara menyertai Festival Layang-Layang Antarabangsa 2023 Pahang Sirkit di Pantai Sepat, di sini yang berlangsung pada Selasa sehingga esok.

Selain Malaysia,10 negara yang terlibat ialah New Zealand, Poland, Japan, Korea Selatan, Kemboja, Thailand, Singapura, Indonesia dan China serta Brunei dengan penyertaan 22 peserta.

Presiden Majlis Pelayang Malaysia, Datuk A. Rahim Nin berkata, festival ini diadakan bagi memastikan budaya tradisi, pembuatan, permainan wau dan layang-layang terus wujud serta kekal relevan.

"Kita bersama dengan negara lain (luar) untuk melonjakkan lagi permainan layang-layang, sebab kita sedia maklum permainan ini... semua negara mempunyai asal usul layang-layang mereka tersendiri.

"Jadi, setiap negara akan membawa layang dan wau negara mereka sama ada tradisi atau moden. Begitu juga dengan Malaysia aman bawa layang dan wau kita untuk dipamerkan di negara luar, jika ada festival sebegini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pantai Sepat di sini pada Sabtu.

Orang hadir di Festival Layang-layang di Pantai Sepat bagi menyaksikan kepelbagaian bentuk, saiz layang-layang yang dinaiki di udara.
Orang hadir di Festival Layang-layang di Pantai Sepat bagi menyaksikan kepelbagaian bentuk, saiz layang-layang yang dinaiki di udara.

Beliau memaklumkan, festival itu julung kali diadakan di Pahang hasil daripada kesinambungan penganjuran berskala kecil dengan Persatuan layang-layang dan wau Pahang sebelum ini.

Jelasnya, orang ramai boleh melihat pelbagai jenis dan bentuk layang-layang di Pantai Sepat.

"Pelbagai jenis dan bentuk layang-layang boleh dilihat sama ada layang-layang tradisi mahu pun moden termasuk layang-layang dari negara luar.

"Malah, mereka juga boleh membeli dan melakukan riadah bersama keluarga," katanya.

A Rahim (kanan) melawat gerai layang-layang.
A Rahim (kanan) melawat gerai layang-layang.

Pengunjung, Malek Ridzuan Mohamad, 43, mengakui kali pertama menyaksikan kepelbagaian layang-layang dan wau di negeri ini.

"Seronok bila lihat banyak layang-layang dan wau yang dipamer dan jual di sini. Saya juga ada membeli wau bulan dan barat daripada Kelantan untuk dijadikan kenangan," katanya yang berasal dari Rompin.