KKM lulus permohonan 332 pegawai perubatan tukar penempatan - Dr Zaliha

Dr Zaliha (tengah) hadir pada sidang akhbar di Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu.
Dr Zaliha (tengah) hadir pada sidang akhbar di Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan rayuan permohonan penempatan seramai 332 pegawai perubatan di seluruh negara yang perlu lapor diri pada Isnin ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, rayuan itu diluluskan pada 27 Jun dan 24 Julai lalu selepas menerima 1,843 rayuan daripada 4,155 pegawai perubatan yang ditawarkan ke jawatan tetap.

Menurutnya, Jawatankuasa Rayuan bersidang menimbang kesemua rayuan pegawai dan meluluskan bagi mereka yang mempunyai alasan kukuh termasuk keadaan kesihatan diri serta keluarga seperti ibu hamil dan ancaman terhadap keselamatan.

“KKM menyediakan saluran untuk pegawai merayu melalui emel, borang secara dalam talian, rayuan bersemuka dan tiga talian telefon yang khusus bagi membolehkan pegawai menghubungi Bahagian Sumber Manusia.

“Jawatankuasa Rayuan yang bersidang menimbang semua, namun tidak dapat meluluskan kesemuanya kerana tiada kekosongan jawatan di negeri yang dimohon dan yang dipertimbangkan ialah kepada pegawai sedang mengikuti pengajian kepakaran, menghadapi masalah keluarga yang serius, sakit kanser dan ancaman keselamatan,” katanya pada sidang akhbar khas pada Sabtu.

Dr Zaliha berkata, rayuan pertukaran penempatan yang diluluskan itu melibatkan negeri di Semenanjung yang berdekatan dan kebanyakannya bukan mengikut penempatan rayuan kerana tiada kekosongan jawatan di negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Urusan penempatan kali ini dibuat menerusi sistem dan memerlukan pegawai memilih penempatan kerana jurang antara jumlah pegawai kontrak dan perjawatan tetap yang tinggi di beberapa negeri selain memberi peluang sama rata kepada pegawai untuk memilih.

“Sekiranya pegawai dikekalkan di penempatan sedia ada maka akan berlaku penempatan tanpa jawatan dan perkara ini menyalahi peraturan kewangan berkuat kuasa,” ujarnya.

Tambah beliau, KKM akan terus mengambil berat dan prihatin terhadap keluhan para pegawai perubatan berkait isu berkenaan.