KPDNHEP beri amaran kepada peniaga agar pamer tanda harga

Muhammad Aizudin melihat tanda harga di sebuah permis menjual sayur-sayuran ketika pemeriksaan di Pasar Alor Gajah di sini hari ini.
Muhammad Aizudin melihat tanda harga di sebuah permis menjual sayur-sayuran ketika pemeriksaan di Pasar Alor Gajah di sini hari ini.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka memberi amaran kepada peniaga agar lebih bertanggungjawab untuk mempamerkan tanda harga sepanjang bulan Ramadan.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Muhammad Aizudin Mohd Sani berkata, amaran itu termasuk peniaga bazar Ramadan supaya tidak menaikkan harga sesuka hati dan pemantauan yang dilakukan sejak semalam (1 Ramadan) mendapati peniaga meletakkan harga barangan diparas munasabah selain tiada sebarang aduan pengguna yang direkodkan.

Menurutnya, setiap hari juga anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan bagi 160 jenis barang di setiap pasar negeri ini termasuk Pasar Alor Gajah bagi memastikan peniaga mengikut senarai harga yang ditetapkan.

"Setakat ini hasil pemantauan dan pemeriksaan harga barang munasabah dan kekal sama sebelum Ramadan cuma harga ayam ada sedikit penurunan dari RM7.80 semalam kepada RM7.40 pada hari ini, manakala harga barang jualan lain seperti daging masih kekal sama.

"Saya mengingatkan peniaga bazar Ramadan untuk wajib meletakkan tanda harga dan jika ingkar, tindakan kompaun boleh diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011," katanya.

Anggota penguat kuasa sedang membuat pemeriksaan dan pemantauan di premis perniagaan Pasar Alor Gajah.
Anggota penguat kuasa sedang membuat pemeriksaan dan pemantauan di premis perniagaan Pasar Alor Gajah.

Muhammad Aizudin berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai pemeriksaan di Pasar Alor Gajah di sini hari ini.

Tambahnya, dalam pemeriksaan itu seorang peniaga dikenakan kompaun RM200 atas kesalahan gagal mempamerkan tanda harga di pasar berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 8,887 premis perniagaan yang telah diperiksa dalam tempoh 1 Januari hingga 7 Mei lalu dan 140 kes telah direkodkan dengan pelbagai kesalahan dengan jumlah nilai rampasan RM155,257.

"Daripada 140 kes, 76 kompaun telah dikeluarkan membabitkan nilai kompaun RM10,400 manakala kes-kes yang dihadapkan ke mahkamah menghasilkan kutipan denda sebanyak RM83,000," katanya.

Pemeriksaan selama sejam di 55 premis perniagaan turut disertai seramai 22 penguat kuasa, enam kakitangan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan empat wakil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).