Tidak letak tanda harga kesalahan tertinggi dilakukan peniaga

Salahuddin (kanan) melancarkan melancarkan Jualan Rahmah Daging Import di Pasaraya Econsave Pontian pada Khamis.
Salahuddin (kanan) melancarkan melancarkan Jualan Rahmah Daging Import di Pasaraya Econsave Pontian pada Khamis.
A
A
A

PONTIAN - Gagal meletakkan atau mempamerkan tanda harga antara kesalahan tertinggi yang direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di seluruh negara menjelang sambutan Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ratusan aduan berhubung perkara itu diterima dan penguat kuasa kementerian sudah diarahkan memantau peniaga dan peruncit yang terlibat.

"Peniaga dan peruncit yang masih cuai dalam meletak atau mempamer tanda harga sudah diberikan nasihat. Saya sendiri beberapa kali pernah menegur peniaga dan peruncit dalam tinjauan mengejut dilakukan supaya meletakkan tanda harga.

"KPDN sebolehnya tidak mahu mengambil pendekatan mengeluarkan kompaun berikutan Aidilfitri semakin hampir. Bagaimanapun, tindakan tegas akan diambil jika peniaga atau peruncit terus melakukan kesalahan sama secara berulang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Jualan Rahmah Daging Import di Pasaraya Econsave Pontian di sini pada Khamis.

Menerusi Jualan Rahmah itu, sebanyak 90 cawangan Econsave di seluruh negara menawarkan 500 tan daging kerbau import pada harga RM14.90 sekilogram (kg), berbanding harga siling RM20 setiap kg yang ditetapkan KPDN.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, terdapat beberapa lokasi dikenal pasti menjual harga ayam segar melebihi harga siling ditetapkan.

Katanya, menerusi pemeriksaan dilakukan kementerian, perkara itu disebabkan penjual ayam menerima bekalan ayam daripada dua hingga tiga lapisan pemborong.

"Ia menyebabkan peniaga ayam segar umpamanya terpaksa meletak caj memotong sehingga harga sekilogram ayam melebihi harga siling, berikutan harga ayam segar yang diterima lebih mahal berbanding kawasan lain.

"Saya sudah memeriksa perkara ini kepada unit undang-undang KPDN, jika peniaga meletakkan tanda harga dan notis caj pemotongan secara jelas dan ia dipersetujui pengguna, maka ia bukan satu kesalahan.

"Bagaimanapun, isu ini hanya berlaku di sesetengah lokasi dan bukan di banyak kawasan," katanya.