KPKT sedia 3,073 MyKiosk, sewa bawah RM300 sebulan

A
A
A

Kor Ming menyerahkan projek Mykiosk kepada Yang Di Pertua, Majlis Perbandaran Sepang, Datuk Abd. Hamid Hussain pada majlis Pelancaran Mykiosk yang diadakan di Tapak Pasar, Taman Putra Perdana, Puchong pada Jumaat.
Kor Ming menyerahkan projek Mykiosk kepada Yang Di Pertua, Majlis Perbandaran Sepang, Datuk Abd. Hamid Hussain pada majlis Pelancaran Mykiosk yang diadakan di Tapak Pasar, Taman Putra Perdana, Puchong pada Jumaat.

SEPANG - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan sebanyak 3,073 unit MyKiosk dengan manfaat kadar sewa rendah iaitu tidak melebihi RM300 sebulan dan dijangkakan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kos anggaran seunit kiosk antara RM15,000 hingga RM20,000 termasuk disediakan panel solar itu dibina bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan terutama golongan B40 dalam menjana dan meningkatkan pendapatan dan sosioekonomi.

"Daripada peruntukan RM50 juta Belanjawan Malaysia Madani 2023 ini KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan telah meluluskan sebanyak RM49 juta kepada 113 pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi pembinaan berkenaan, ia melepasi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) kami iaitu 3,000 kiosk.

"Fasa pertama MyKiosk dengan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi 100 kiosk lengkap dengan panel solar telah siap dibina dan akan beroperasi tidak lama lagi.

"Lima PBT telah terpilih bagi fasa pertama projek ini iaitu Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Bandaraya Seremban, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Majlis Perbandaran Port Dickson dan Majlis Daerah Kuala Pilah. Setiap jabatan itu menerima peruntukan untuk membina 20 kios," katanya.

 Kor Ming bersama peniaga yang terpilih untuk menyewa kiosk di Taman Putra Perdana.
 Kor Ming bersama peniaga yang terpilih untuk menyewa kiosk di Taman Putra Perdana.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran MyKiosk di tapak kiosk Taman Putra Perdana, Sepang pada Jumaat.

Tambah Kor Ming, selain itu, pengecualian sewaan juga diberikan kepada peniaga selama enam bulan pertama pelaksanaan tersebut.

"Dengan inisiatif Ekonomi Madani ini, kerajaan mencadangkan kepada peniaga tanpa lesen 'dihalalkan', ia sekaligus dapat menyelesaikan masalah isu penjaja haram.

"Kita bekalkan kiosk dengan imej, warna dan reka bentuk yang baharu dan seragam di seluruh negara, ini secara langsung memberikan penjenamaan kepada mereka," ujarnya.

Kor Ming melawat salah satu kiosk yang menjual nasi kerabu.
Kor Ming melawat salah satu kiosk yang menjual nasi kerabu.

Beliau turut menegaskan bahawa mana-mana peniaga yang terpilih menyewa kios tersebut, tidak dibenarkan menyewakan kepada orang lain.

Jelasnya, itu antara syarat yang diberikan dan jika ada peniaga yang ingkar, ia secara automatik akan terbatal kontrak mereka.

Salah seorang penerima kiosk itu, Alif Aiman Shahrulazni, 34 berkata, tawaran itu diberikan sendiri oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPS) kepada mereka yang berniaga di tepi jalan di sekitar kawasan Puchong ini.

ALIF AIMAN
ALIF AIMAN

Menurut peniaga burger itu, inisiatif KPKT tersebut telah memudahkan mereka dalam mencari rezeki kerana sebelum ini sering diganggu MPS disebabkan tidak memiliki lesen.

"Saya berasa amat bersyukur dengan pembinaan kios ini yang mana ia dilihat membantu peniaga kecil seperti kami.

"Sambutan diterima pada hari pertama ini, Alhamdulillah memberangsangkan," katanya.

Peniaga nasi kerabu, Rafidah Ramli, 37 pula memberitahu, keputusan permohonan kios itu mengambil masa dalam tempoh hanya dua minggu sahaja.

RAFIDAH
RAFIDAH

"Malah, yang paling meringankan beban kami adalah kadar sewa yang murah, iaitu RM10 sehari," katanya yang meniaga hampir sembilan tahun.

Bagi peniaga Abah Western, Mohd Farizul Abdul Rahim, 29, berpandangan bahawa bukan hanya kadar sewa yang berbaloi malahan reka bentuk kiosk disifatkan cantik dan selesa.

MOHD FARIZUL
MOHD FARIZUL

"Selain itu, sistem solar juga memberikan kemudahan dan penjimatan kepada kami yang mana tidak perlu memikirkan penggunaan elektrik," ujarnya yang mula meniaga jam 2 petang hingga 11 malam.