Kementerian Kewangan sedia segerakan pemberian e-tunai RM100

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kewangan akan segera melaksanakan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemberian kredit e-tunai RM100 kepada rakyat terutamanya golongan B40 dan M40.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, maklumat lanjut mengenai pemberian itu akan diumumkan dari semasa ke semasa dalam tempoh terdekat.

“Kita bersedia untuk meneruskan pemberian e-tunai RM100 kepada 10 juta rakyat yang berpendapatan bawah RM100,000 setahun iaitu mereka dalam kategori B40 dan M40.

"Ini adalah satu usaha yang sangat baik untuk melatih rakyat berhadapan dengan cashless society (masyarakat tanpa tunai) yang menggunakan segala aplikasi dalam perbelanjaan.

“Bagi sesetengah orang, RM100 mungkin nampak kecil tetapi konsep ini penting untuk mendidik rakyat demi ekonomi masa depan," katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian MOU Aplikasi Lulus bersama CTOS Berhad dan Celcom Digi Berhad pada Khamis.

Tambah Ahmad, kementerian juga bersedia untuk melaksanakan bantuan khas kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah sebanyak RM300 serta RM200 kepada pesara kerajaan.

Ujarnya, ia adalah satu usaha untuk membantu rakyat dalam meningkatkan masa depan ekonomi setempat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi individu terutama warga emas yang tidak mempunyai aplikasi e-tunai perlu dibantu oleh ahli keluarga atau pemimpin setempat di kawasan tempat tinggal mereka.

“Anak-anak mereka (warga emas) boleh memberi tunjuk ajar, begitu juga dengan kepimpinan setempat yang perlu membantu rakyat tidak celik teknologi informasi (IT) untuk mendalami era ekonomi digital ini,” jelas beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Kerajaan setuju tawar kredit e-tunai RM100 kepada rakyat

Bantuan khas RM300 kepada penjawat awam, RM200 pesara