Ketepikan urusan kerja, Azhan Rani sibuk jaga ibu

Azhan Rani beri tumpuan sepenuhnya untuk menjaga ibu yang sedang sakit. - Foto Astro/AZRUL RAFIE
Azhan Rani beri tumpuan sepenuhnya untuk menjaga ibu yang sedang sakit. - Foto Astro/AZRUL RAFIE
A
A
A

BIARPUN sibuk dengan urusan kerjaya dan jadual padat saban hari, pelakon Azhan Rani mengakui terpaksa mengetepikan beberapa tawaran yang datang kerana perlu memberi perhatian kepada ibunya yang sedang sakit.

Menurut Azhan, sejak lebih dua minggu lalu, ibunya, Salmah Budin, 77, dimasukkan ke hospital dan memerlukan pemantauan rapi selepas beberapa kali tidak sedarkan diri di rumah.

Mengambil tanggungjawab untuk menjaga ibu bersama adik-beradiknya, pelakon yang popular dengan drama Nur itu lega apabila keadaan wanita itu beransur baik dan kini sedang menjalani rawatan fisioterapi serta pemulihan.

“Sudah hampir sebulan saya tidak terikat dengan urusan kerja kerana mahu memberikan tumpuan menjaga ibu yang sedang terlantar di hospital. Dia kini hanya terbaring, tidak mampu untuk duduk dan berdiri.

“Ibu juga memakai pampers 24 jam, jadi anak-anak perlu menjaga dan menguruskan segala keperluannya. Buat masa ini saya bergilir-gilir dengan adik.

“Apa-apa pun saya bersyukur melihat ibu menunjukkan perkembangan positif. Mungkin sukar sembuh sepenuhnya kerana faktor usia, tetapi sekurang-kurangnya ibu dalam keadaan yang baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Azhan mengingatkan anak-anak di luar sana agar tidak berasa susah atau terbeban menjaga ibu bapa yang sedang sakit kerana itu adalah tanggungjawab mereka.

“Saya akui menguruskan orang tua yang sakit sememangnya tidak mudah. Apatah lagi jika anak lelaki yang kena menjaga dan menguruskan ibu. Bagaimanapun kita kena buang perasaan malu, kotor atau geli nak bersihkan najis dan sebagainya.

“Saya harap bila orang tua kita sakit, anak-anak janganlah datang untuk melawat sahaja. Mereka tak perlukan pelawat tapi penjaga.

“Saya tidak melihat menjaga ibu bapa ini sebagai satu pengorbanan, tetapi tanggungjawab seorang anak,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media drama terbaharu Astro yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada Selasa.

Berkongsi perkembangan terkini, Azhan berkata, jadual kerjanya kembali sibuk bermula September ini apabila terlibat dengan penggambaran drama dan telefilem yang sudah dipersetujui.

“Insya-ALLAH jika semuanya berjalan lancar, saya akan memulakan penggambaran drama dan telefilem bulan depan termasuk menjalani penggambaran di Makkah. Kalau ada rezeki juga saya juga akan mengerjakan ibadah umrah pada Oktober ini.

“Selain itu, saya juga dalam persiapan untuk misi pendakian terbaharu di Nepal yang dijangka bermula tahun hadapan. Jadi pada Ogos ini, saya perlu mengikuti beberapa sesi latihan pendakian di Gunung Kinabalu.

“Bagaimanapun saya kena tengok juga perkembangan terkini kesihatan ibu dan mungkin perancangan akan berubah berdasarkan keadaannya,” katanya.