Lebih 50,000 Rumah Selangorku ditawarkan untuk rakyat Selangor

Rodziah (tengah) ditemui di Majlis Pecah Tanah Rumah Selangorku Pangsapuri Harmoni TWL Subang Jaya USJ1, di sini pada Khamis.
Rodziah (tengah) ditemui di Majlis Pecah Tanah Rumah Selangorku Pangsapuri Harmoni TWL Subang Jaya USJ1, di sini pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - Sebanyak 53,514 unit Rumah Selangorku ditawarkan kepada orang awam melalui Sistem Penawaran Hartanah Negeri Selangor secara dalam talian sehingga kini.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail berkata, sejumlah 34,288 unit selesai diserahkan kepada pembeli.

"Sementara bakinya sedang dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang 2025," katanya ditemui di Majlis Pecah Tanah Rumah Selangorku Pangsapuri Harmoni TWL Subang Jaya USJ1, di sini pada Khamis.

Beliau menambah projek tersebut bagi memenuhi komitmen pentadbiran negeri membangunkan 60,000 unit rumah mampu milik selaras Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Setiap unit yang disiapkan bermakna satu keluarga di Selangor kini memiliki kediaman mereka sendiri dan tidak perlu lagi menyewa rumah di pasaran bebas,” katanya.

Katanya lagi, sebanyak 227,784 unit rumah melibatkan 407 projek diluluskan kerajaan negeri Selangor untuk rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana sejak 2014.

“Saya percaya dengan kemasukan unit ini ke pasaran, ia akan melegakan golongan memerlukan terutama berpendapatan rendah (B40) dan menengah (M40) menjelang 2025,” tambahnya.