Kebakaran pejabat IPK Perak tiada unsur jenayah

Sayani (dua dari kiri) menyerahkan agihan bubur asyura kepada wartawan Utusan Malaysia, Asliza Musa pada program Bubur Asyura anjuran Bomba Perak di Ipoh.
Sayani (dua dari kiri) menyerahkan agihan bubur asyura kepada wartawan Utusan Malaysia, Asliza Musa pada program Bubur Asyura anjuran Bomba Perak di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Kebakaran pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, bulan lalu tidak mempunyai unsur jenayah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan laporan sebelum diserahkan kepada pihak polis.

"Siasatan yang dilaksanakan Bahagian Penyiasatan Kebakaran mendapati tiada unsur-unsur asing. Perlakuan jenayah juga tidak dikesan tetapi kita lihat dari aspek pendawaian bangunan lama.

"Siasatan kini di peringkat akhir dan laporan dijangka boleh disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Bubur Asyura anjuran Persatuan Sukan, Kebajikan dan Kebudayan Bomba (Perskeb), Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba (Perisma) dan Kelab Sukan dan Kebajikan Kakitangan (KSKK) di Ibu Pejabat JBPM Perak di sini pada Khamis.

Sebanyak 400 bungkusan bubur asyura diagihkan kepada agensi-agensi berhampiran Ibu Pejabat JBPM Perak pada Khamis.
Sebanyak 400 bungkusan bubur asyura diagihkan kepada agensi-agensi berhampiran Ibu Pejabat JBPM Perak pada Khamis.

Menurut Sayani, pejabat yang dilaporkan menempatkan dokumen itu belum diserahkan kepada polis sehingga selesai siasatan.

"Cuma bangunan itu adalah bangunan lama yang mana kuarters dijadikan pejabat dan tempat penyimpanan dokumen-dokumen.

"Jadi dari segi penyusunan dan penyimpanan dokumen di situ mungkin boleh ditambah baik," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan beberapa dokumen berkaitan Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) di pejabat JSJ IPK Perak musnah dalam kejadian kebakaran pada 27 Jun lalu.

Kebakaran sekitar jam 3.14 petang itu berlaku di tingkat dua bangunan melibatkan 40 peratus kemusnahan.