Polis pantau premis barangan lusuh

Antara premis yang diperiksa polis IPD Kuala Pilah kelmarin.
Antara premis yang diperiksa polis IPD Kuala Pilah kelmarin.
A
A
A

KUALA PILAH - Pemeriksaan berkala melibatkan 31 premis barangan lusuh di sekitar Kuala Pilah akan dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah bagi memastikan tiada barangan curi dijual atau dibeli di premis tersebut.

Ketua Polis Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, pihaknya telah memeriksa empat premis tersebut pagi kelmarin.

"Hasil pemeriksaan kami dapati tiada barangan curi ditemui selain mereka mematuhi peraturan dengan mempamerkan permit polis dan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) yang ditetapkan.

"Bagaimanapun pemilik premis ini diingatkan agar menyediakan buku penjualan dan pembelian barangan terpakai termasuk buku lawatan polis bagi memudahkan pemeriksaan berkala dilakukan," katanya ketika ditemui semalam.

Haslah berkata, mereka juga diingatkan supaya meletakkan papan tanda kedai mengikut syarat yang ditetapkan.

"Setakat ini tiada laporan salah laku namun pemeriksaan berkala akan dilakukan dari semasa ke semasa selain diharap semua premis dapat mengekalkan kerjasama ini bagi mengelakkan sebarang aktiviti jenayah," katanya.

Kelmarin polis membuat pemeriksaan di empat premis barangan lusuh bermula jam 10.30 pagi dan berakhir jam 1 tengah hari sekitar kawasan pentadbiran IPD Kuala Pilah.

Bagaimanapun pemeriksaan tersebut tidak melibatkan sebarang tangkapan selain pemilik premis memenuhi peraturan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan: