Kerajaan perlu bantu industri media tempatan

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Sinar Harian menyambut baik kesediaan kerajaan dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk menyediakan satu perundangan untuk membantu industri media tempatan bagi mendapatkan bayaran daripada syarikat gergasi teknologi antarabangsa.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, sebelum ini media tempatan menerusi Malaysian Newspaper Publishers Association (MNPA) telah melakukan perbincangan dengan pihak terbabit berhubung gesaan bagi memberi bayaran setimpal dan adil kepada media tempatan.

“Ia termasuk satu pasukan khas juga difahamkan sudah ditubuhkan untuk mengadakan perbincangan dengan Meta, Google dan TikTok.

“Namun gesaan tanpa sokongan kerajaan termasuk akta yang mewajibkan syarikat gergasi teknologi untuk berbuat demikian dilihat tidak cukup kuat,” katanya kepada Sinar Harian.Pada Selasa, kerajaan menerusi KKD dilaporkan bersedia menjadi pemudah cara bagi membantu perundingan organisasi media tempatan dalam mendapatkan pampasan atau bayaran adil daripada syarikat gergasi teknologi.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, usaha ini diambil bagi memastikan syarikat media tempatan dibantu mendapatkan hak sepatutnya daripada gergasi teknologi seperti Google dan Meta.

Berikutan itu, Zamri meminta syarikat media Malaysia bersatu hati dan teguh sehingga matlamat itu berjaya seperti dilakukan oleh Australia meskipun bagi mendapatkan hasil itu dianggap bukan mudah.

Ujarnya, negara itu turut mendapat pelbagai tekanan daripada syarikat gergasi teknologi berkenaan antaranya adalah dengan mengehadkan berita yang dihasilkan di media sosial mereka.

“Australia bagaimanapun berjaya membuktikan dengan kesatuan hati dan sokongan kerajaan, News Bargaining Code telah membolehkan mereka memperoleh AS$220 juta tahun lalu.

“Lebih penting, bayaran yang dibuat oleh gergasi teknologi tersebut kepada media Australia menurut speaker dari negara berkenaan di Forum Media Nasional 2023 pada Selasa adalah berdasarkan kandungan asli disiarkan.

“Sama-sama kita berjuang hingga berjaya seperti Australia,” katanya lagi.

Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn Bhd, Mohamad Azlan Jaafar pula berpandangan, perundangan wajar segera dilaksanakan bagi membela dan menyelamatkan industri media di negara ini.

“Daripada jumlah kandungan yang kita hasilkan, platform teknologi tersebut raih banyak keuntungan berbanding agensi media itu sendiri. Justeru, sebagai pemilik kandungan, pengagihan keuntungan itu perlu lebih adil,” jelasnya.