Ajal ketika hantar tempahan makanan pelanggan

Pegawai penyiasat ketika melakukan siasatan di lokasi kejadian di Jalan Sungai Putat petang tadi.
Pegawai penyiasat ketika melakukan siasatan di lokasi kejadian di Jalan Sungai Putat petang tadi.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang lelaki maut ketika menghantar makanan ditempah pelanggan selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Sungai Putat di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa Muhammad Hasani Mohd Razip, 28, menunggang motosikal Honda EX5 milik bapanya dari arah Batu Berendam, maut di tempat kejadian.

Difahamkan ketika kejadian mangsa sedang membawa kotak penghantaran makanan milik syarikat penghantaran makanan terkenal ke pejabat operasi di Bukit Beruang sebelum terbabit kemalangan di hadapan sebuah stesen minyak.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, siasatan awal mangsa dipercayai berada di laluan MPV Toyota Vellfire dipandu wanita berusia 44 tahun yang menuju ke Batu Berendam.

"Mangsa memasuki laluan bertentangan lalu berlaku pertembungan. Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu MPV tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala kedua-dua kenderaan ditahan untuk pemeriksaan Puspakom.

"Setakat ini belum ada saksi bebas tampil dan polis sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik syarikat stesen minyak berhampiran.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: