Pas pertikai tindakan guna premis kerajaan untuk kempen

Alias
Alias
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas Terengganu kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang didakwa menggunakan premis kerajaan terutama sekolah untuk berkempen sempena pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK).

Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Dr Alias Razak berkata, tindakan itu dilihat bercanggah dengan larangan dikeluarkan sebelum ini yang tidak membenarkan penggunaan premis kerajaan untuk tujuan berkempen.

"Saya terkejut apabila melihat gambar-gambar di media sosial mengenai seorang jurukempen politik BN yang masuk ke sekolah dan berucap di hadapan anak-anak dipercayai pelajar Tingkatan Enam.

"Saya ingin ingatkan semula kepada semua berhubung kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil yang melarang penggunaan agensi kerajaan untuk tujuan kempen politik.

"Adakah ini juga merupakan satu bentuk salah guna premis kerajaan dalam tempoh PRN yang akan diadakan tidak lama nanti," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di pejabat Pas di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Alias turut mempersoalkan kelayakan seorang jurukempen politik bagi membolehkan seseorang individu itu memasuki institusi pendidikan.

"Semua sedia maklum jurukempen politik berkenaan cukup aktif berpolitik ketika ini, jadi saya agak hairan kenapa jurukempen BN itu dapat masuk ke sekolah dengan mudah.

"Apakah kelayakan atau tauliah yang ada pada jurukempen politik BN itu untuk masuk ke institusi pendidikan," ujarnya

Dalam pada itu, Alias turut menyentuh mengenai program kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan di Terengganu yang dilihat seolah-olah mengetepikan penyertaan daripada kerajaan negeri.

"Saya ingin menyentuh mengenai program Madani Afiat yang dilaksanakan beberapa hari lepas. Program ini sangat baik, apabila jururawat turun ke lapangan bertemu rakyat melakukan pemeriksaan dan rawatan di rumah.

"Namun apa yang dikesalkan adalah terdapat penglibatan daripada tokoh-tokoh politik BN yang memperlihatkan program ini seakan-akan menggunakan jentera kerajaan untuk parti politik.

"Mengapa program ini tidak dimaklumkan kepada kerajaan negeri untuk turut serta kerana apa yang berlaku ini akan mewujudkan satu jurang yang tidak sihat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan," katanya.

Selain itu, Alias mendakwa beliau difahamkan terdapat ahli politik yang memakai pakaian melambangkan identiti sebuah parti mengiringi petugas kesihatan ketika program itu dilaksanakan.

"Sekiranya benar, saya merasakan ia tidak patut berlaku kerana seolah-olah menggambarkan penjawat awam digunakan parti politik," katanya.

Ahad lalu, Program Madani Afiat & One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Negeri Terengganu 2023 diadakan di Program Perumahan Rakyat Padang Hiliran, di Kuala Terengganu yang dihadiri Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Pada hari sama, terdapat program Himpunan Pewaris Generasi Madani di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) di Kuala Nerus yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.