Zeti Aziz hadir dalam kes 1MDB

Zeti Aziz hadir di Mahkamah Tinggi pada Rabu.
Zeti Aziz hadir di Mahkamah Tinggi pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hadir di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Zeti yang memakai jubah berwarna biru gelap, tiba pada jam 1.55 petang dengan diiringi beberapa pegawai bagi mengikuti perbicaraan kes di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan).

Pada prosiding 23 November tahun lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah bahawa pernyataan saksi sudah tersedia dan Zeti akan membacanya dalam prosiding seterusnya.

Bagaimanapun, prosiding yang bermula jam 3 petang itu belum memanggil Zeti untuk memberi keterangan.

Ia selepas peguam bagi pihak Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah masih menyoal balas saksi pendakwaan ke-44, bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura) Kevin Michael Swampillai.

Perbicaraan bermula dengan Muhammad Shafee memohon maaf atas ketidakhadirannya dalam prosiding yang sepatutnya bermula jam 9 pagi.

“Saya mohon maaf, kerana pagi tadi saya tidak sihat dan berterima kasih kepada mahkamah kerana memahami,” katanya.

Dalam prosiding sebelum ini, isu memanggil Zeti untuk memberi keterangan timbul selepas Muhammad Shafee bertanyakan soalan kepada saksi ke-39 pendakwaan, bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang, 75, mengenai kehadiran ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low di kediaman Zeti.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, (mendiang) Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu bahawa, soalan tersebut boleh ditanya kepada Zeti sendiri kerana mereka akan memanggil wanita terbabit untuk memberi keterangan dalam kes ini.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014, manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan di hadapan bersambung Khamis.