Pasar raya Qatar boikot produk Sweden

Pekerja mengeluarkan produk keluaran Sewden daripada rak pasar raya. - Agensi
Pekerja mengeluarkan produk keluaran Sewden daripada rak pasar raya. - Agensi
A
A
A

DOHA - Rangkaian pasar raya terkemuka di Qatar mengeluarkan semua produk keluaran Sweden daripada raknya sebagai tindak balas terhadap insiden membakar kitab suci al-Quran di Stockholm.

Menurut portal Dohanews, pasar raya Souq Al Baladi mengambil langkah itu selepas tiada usaha konkrit diambil pihak berkuasa Sweden dalam menangani serangan ke atas al-Quran.

Kenyataan dikeluarkan oleh pasar raya itu menyebut bahawa ia melancarkan boikot ke atas semua barangan Sweden sehingga diberitahu kelak.

Sweden sebelum ini menegaskan ia menjustifikasikan aksi mencemarkan al-Quran atas alasan kebebasan bersuara.

Bulan lalu, pendatang Iraq, Salwan Momika membakar al-Quran di hadapan masjid utama Stockholm.

Salwan mengulangi perbuatan mencemar al-Quran dengan memijak dan menendang salinan kitab suci itu semasa protes di hadapan Kedutaan Iraq pada Khamis lalu.

Kerajaan Sweden mengutuk pembakaran al-Quran sebagai tindakan Islamofobia tetapi mengiktiraf hak yang dilindungi perlembagaan untuk kebebasan berhimpun, bersuara dan demonstrasi di negara itu.

Di ibu negara Denmark pula, dua lelaki mendakwa ahli kumpulan Patriot Denmark membakar dua salinan al-Quran di hadapan Kedutaan Iraq di Copanhagen.

Tahun lalu, beberapa negara Arab bertindak memboikot barangan India susulan tindakan dua anggota kanan parti memerintah Bharatiya Janata (BJP) meniup sentimen Islamofobia dan menghina junjungan besar Nabi Muhammad SAW. - Agensi