PRN: Dua profesor bakal jadi taruhan PN di Kedah

Sanusi - Foto Bernama
Sanusi - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Dua ahli akademik bertaraf profesor dijangka menjadi pertaruhan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi bayangan tersebut tanpa mendedahkan kedua-dua calon berkenaan ketika berucap dalam program ceramah di Sik pada Khamis lalu.

Bagaimanapun sumber mendedahkan, dua nama yang tersenarai itu merupakan bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Haim Hilman Abdullah dan seorang lagi ialah bekas Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Mohd Suffian Yusoff.

Haim Hilman bukanlah nama asing kalangan penduduk setempat, pada PRU15 lalu, namanya turut dikaitkan sebagai calon pilihan raya ketika itu, namun beliau tampil menafikan dan menegaskan masih komited bersama UUM.

Pada Disember tahun lalu, media melaporkan tempoh perkhidmatan Haim Hilman dipendekkan berkuat kuasa 18 Januari lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan, pemendekan tempoh perkhidmatan Haim Hilman adalah berdasarkan hasil siasatan dilakukan selepas menerima aduan daripada pensyarah dan Lembaga Pengarah UUM.

Beliau bagaimanapun, tidak mendedahkan butiran aduan selain menegaskan siasatan terlebih dahulu dilakukan berhubung aduan sebelum keputusan dibuat.

Haim, 50, berkelulusan ijazah sarjana muda dan sarjana pentadbiran perniagaan dari University of Portsmouth, United Kingdom dilantik ke jawatan pentadbiran tertinggi UUM pada 17 Januari 2022 kemudian menjadi Profesor di Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) UUM.

Beliau turut memiliki ijazah kedoktoran dalam pengurusan strategik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pernah memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) di universiti tersebut.

Difahamkan, Haim Hilman menamatkan perkhidmatannya pada Ahad (23 Julai) disebabkan bakal mengubah haluan kariernya sebagai calon PRN, dipercayai di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra.

Kerusi tersebut disandang bekas Menteri Besar Kedah merangkap Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang telah mengumumkan partinya tidak akan menyertai PRN kali ini.

Pakatan Harapan (PH) mengumumkan calon PKR, Datin Sabrina Ahmad dipertaruhkan di kerusi berkenaan.

Sementara Mohd Suffian, 54, menamatkan perkhidmatan di USM pada Jumaat (21 Julai) bagi memberi sepenuh tumpuan dalam politik selepas bersara.

Beliau merupakan Felo Yayasan Strategik Lestari yang dilantik bermula pada September 2022 hingga Ogos 2025.

Mohd Suffian merupakan Ahli Lembaga Pengarah (Pengarah Bukan Eksekutif Bebas) Bina Darulaman Berhad (BDB) yang dilantik bermula Jun tahun lalu.

PN dijangka mempertaruhkan Yang Dipertua Pas Kulim itu di kerusi DUN Bandar Baharu untuk bersaing dengan calon BN, iaitu Ketua Puteri UMNO Kedah, Nuraini Yusoff.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN sebelum ini turut memaklumkan, selain dua profesor, dua bekas pemain bola sepak popular Kedah juga menjadi sandaran PN untuk memenangi kerusi DUN pada 12 Ogos depan.

Difahamkan, dua bekas pemain bola sepak tersebut ialah Baddrol Bakhtiar dan Radhi Mat Din, masing-masing dijangka akan bertanding di DUN Bukit Selambau dan DUN Alor Mengkudu.