[VIDEO] Kontraktor rumput tiruan didakwa tipu bekas guru

A
A
A

SEREMBAN - Seorang kontraktor rumput tiruan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa atas pertuduhan menipu bekas gurunya bagi mendapatkan geran bantuan usahawan yang tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian lebih RM300,000, tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Syafiq Harun, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menipu seorang wanita berusia 43 tahun bagi mendapatkan wang dengan menawarkan geran SME Corp tidak wujud.

Tertuduh telah meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak 14 transaksi berjumlah RM310,500 ke dua akaun bagi mendapatkan geran berkenaan yang dijanjikan untuk perniagaan dijalankan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis perniagaan di Bandar Primas Senawang, di sini pada 19 Januari 2022.

Sehubungan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Muhamad Syafiq (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa atas pertuduhan menipu bekas gurunya bagi mendapatkan geran bantuan usahawan yang tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian lebih RM300,000, tahun lalu.
Muhamad Syafiq (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa atas pertuduhan menipu bekas gurunya bagi mendapatkan geran bantuan usahawan yang tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian lebih RM300,000, tahun lalu.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun, sebat dan boleh didenda.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd Nasir mencadangkan wang jaminan RM30,000 namun tertuduh merayu ia dikurangkan kepada RM3,000.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Hakim turut memutuskan tarikh 11 September depan bagi sebutan semula dan lantikan peguam.