Bakar rumah ibu selepas disuruh cari kerja

Ahmad Musli (tengah) dikawal polis ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas dihukum atas kesalahan membakar rumah ibunya.
Ahmad Musli (tengah) dikawal polis ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas dihukum atas kesalahan membakar rumah ibunya.
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan seorang penganggur yang sanggup membakar rumah ibu kerana disuruh mencari pekerjaan akhirnya dibalas dengan hukuman penjara enam tahun dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hukuman diputuskan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin selepas tertuduh, Ahmad Musli Rudin Ramle, 29, mengaku bersalah pertuduhan kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nuzul Azuar Zulkifli.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh Ahmad Bazli didapati melakukan khianat api dengan merosakkan rumah ibunya, Mariah Abdul Latif, 48, di Lorong Chicha, Berek 12 pada jam 1 petang, 4 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh merayu hukuman terhadapnya diringankan sebelum Mohamad Nuzul Azuar meminta dia dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira empat rekod lampau membabitkan kesalahan ugutan, khianat dan dadah.

“Saya mohon satu hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam supaya tidak mengulanginya,” katanya.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama enam tahun dan denda RM1,000 atau enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut fakta kes, tertuduh berang dan berlaku pertengkaran selepas ditegur ibu yang memintanya mencari pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Wanita itu kemudian menghubungi bapa tertuduh supaya pulang ke rumah menyebabkan tertuduh keluar dari rumah sebelum masuk ke bilik untuk berehat kerana demam.

Mangsa yang kemudian terdengar semula suara tertuduh membebel dan membuka pintu bilik lalu ternampak api membakar ruang tamu serta dinding rumah.

Jiran mangsa datang memberitahu melihat tertuduh keluar dari rumah itu dengan tergesa-gesa selepas kebakaran itu.