Sibuk bertugas tak halang 35 pegawai polis genggam ijazah sarjana

Surirani (kiri) dan Mohd Firdaus antara 35 pegawai polis yang berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Sains (Pengajian Strategik) UUM.
Surirani (kiri) dan Mohd Firdaus antara 35 pegawai polis yang berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Sains (Pengajian Strategik) UUM.
A
A
A

SINTOK - Seramai 35 pegawai polis pelbagai pangkat daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis menerima Ijazah Sarjana Sains (Pengajian Strategik) pada sesi kedua Majlis Konvokesyen ke-35 Universiti Utara Malaysia di Dewan Mu'adzam Shah, dekat sini pada Isnin.

Program Sarjana Sains (Pengajian Strategik) dengan kerjasama IPK Perlis ini adalah program khas sulung yang ditawarkan pada September 2020 secara separuh masa.

Seorang graduan, Deputi Superintenden Surirani Ali, 46, berkata, sokongan tinggi pengurusan IPK Perlis terutamanya Ketua Polisnya, Datuk Surina Saad yang mahu melihat ramai pegawai polis menaik taraf akademik masing-masing disahut oleh mereka.

Menurutnya, walau bagaimanapun tempoh pengajian mereka berada di dalam keadaan kritikal dan perlu belajar secara dalam talian terutamanya semasa menjalankan tugasan hakiki semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bagi mengawal penularan Covid-19 pada 2020.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin. berkenan bergambar bersama 35 pegawai polis pelbagai pangkat daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis menerima Ijazah Sarjana Sains (Pengajian Strategik) pada sesi kedua Majlis Konvokesyen ke-35 Universiti Utara Malaysia di Dewan Mu'adzam Shah, dekat sini pada Isnin.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin. berkenan bergambar bersama 35 pegawai polis pelbagai pangkat daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis menerima Ijazah Sarjana Sains (Pengajian Strategik) pada sesi kedua Majlis Konvokesyen ke-35 Universiti Utara Malaysia di Dewan Mu'adzam Shah, dekat sini pada Isnin.

"Cabaran bekerja dalam sektor keselamatan, isu ini tidak boleh dipandang remeh dan bila ada tugasan kita boleh lagi berbincang dengan pensyarah untuk mendapatkan pelepasan. Budi bicara yang tinggi diberikan oleh pensyarah kepada pelajar yang sambung belajar ini.

"Kelas dan tugasan kelas akan dibincangkan kemudian bagi memberi laluan untuk menyelesaikan tugasan. Ini sebab mengapa pegawai-pegawai polis lain perlu sambung belajar di UUM," katanya yang bertugas sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Siasatan Perundangan di IPK Perlis.

Surirani juga mengharapkan agar lebih ramai pegawai polis junior wanita dapat mengambil peluang melanjutkan pelajaran bagi mengembangkan lagi kerjaya mereka dalam bidang kepolisan.

Semua pegawai polis tersebut antara 460 graduan yang menerima Ijazah Sarjana yang berkenan disempurnakan oleh Tuanku Pro Canselor UUM yang juga Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Sementara itu, bagi seorang lagi graduan, Asisten Superintenden Mohd Firdaus Ishak, 38 dari jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam IPK Perlis pula berkata, peluang ini digunakan sebaik mungkin untuk meningkatkan lagi tahap akademiknya.

Menurutnya, kesibukan kerja hakiki diuruskan sebaik mungkin olehnya malah pernah mengikuti kelas dalam talian semasa menjaga Sekatan Jalan Raya (SJR) ketika PKP di Simpang Empat, Perlis.

"Saya ada berbincang dengan pegawai tentang perkara ini dan Ijazah Sarjana Sains (Pengajian Strategik) ini sesuai dengan bidang kerja kami dan tidak terhad kepada pegawai sahaja tetapi juga terbuka kepada penjawat awam lain dalam PDRM.

"Saya juga ada berbincang dengan ketua jabatan untuk kita membuat pusat pengajian untuk polis di kompleks latihan di Perlis, setakat ini kita telah mempunyai kelas latihan khas di IPK Perlis dan fasilitinya sesuai untuk pembelajaran," kata beliau.

Ujarnya, program khas untuk IPK Perlis sebenarnya juga telah menarik perhatian pengurusan PDRM Bukit Aman dan jika dapat dikembangkan lagi ke kontinjen lain adalah lebih baik.